fbpx
Mesin mandian anjing automatik telah menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Mexico.

Mesin mandian anjing automatik dilengkapi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN teknologi moden ketika ini menyaksikan kemunculan pelbagai inovasi baharu yang mengubah cara manusia menjalani kehidupan harian mereka.

Daripada penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi pintar sehinggalah kepada peranti berasaskan Internet of Things (IoT), teknologi kini bukan sahaja memudahkan urusan seharian, malah meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor.

Perkembangan pesat itu turut membuka ruang kepada penciptaan solusi unik yang sukar dibayangkan, termasuk dalam bidang penjagaan haiwan peliharaan.

Dalam acara teknologi Consumer Electronics Show (CES) 2025 di Las Vegas, Amerika Syarikat, satu mesin mandian pintar yang menggabungkan automasi canggih dengan keupayaan AI, khusus buat anjing telah diperkenalkan.

Syarikat Woofwoof Lux telah memperkenalkan mesin basuh atau mandian anjing yang mudah dan cekap.

Menariknya, mesin itu cukup mudah dikendalikan kerana dilengkapi dengan skrin sentuh bersaiz 18.5 inci di bahagian atas, manakala sebelah bawah menempatkan tempat mandian.

Mesin mandian AI yang menyerupai kapsul moden dengan ruang dalaman selesa dan mesra haiwan itu turut direka agar tidak licin bagi mengurangkan risiko haiwan tergelincir.

Malah, terdapat sistem pengudaraan bagi memastikan aliran udara mencukupi kepada haiwan sepanjang penggunaan.

Selain itu, mesin berkenaan turut dilengkapi sistem antara muka yang mudah digunakan dan kitaran basuhan bersama pengeringan boleh laras, sesuai untuk pelbagai jenis, saiz serta bulu anjing.

Mesin tersebut boleh menjadi alternatif bebas tekanan buat pemilik anjing yang ingin membersihkan haiwan peliharaan tanpa sebarang kesulitan.

Memetik laporan Interesting Engineering, mesin yang turut dinamakan sebagai Woofwoof Lux itu merupakan stesen pembersihan robotik berkuasa AI pertama di dunia yang mampu membasuh dan mengeringkan anjing dalam masa lima hingga 20 minit.

Mesin tersebut juga dilengkapi sensor untuk menyesuaikan suhu air, tekanan dan kitaran basuhan berdasarkan saiz dan baka anjing.

Bagi memastikan keselesaan anjing ketika proses mandian, mesin itu dibangunkan dengan ciri seperti muzik menenangkan dan pensterilan ultraungu.

Tempat mandian anjing di bahagian bawah dibangunkan dengan bahan berasaskan silikon lembut.

“Sistem penyelarasan basuh dan kering ini dapat membantu anjing berasa lebih tenang ketika dimandikan tanpa mencederakannya.

“Ia juga dilengkapi pintu lut sinar bagi membolehkan pemilik memerhati haiwan peliharaan mereka sepanjang proses mandian,” katanya.

Untuk makluman, tempat mandian anjing di bahagian bawah dibangunkan dengan bahan berasaskan silikon lembut untuk memberus badan anjing daripada kotoran tanpa mencederakannya.

Namun, pengguna boleh membuat pilihan sama ada ingin membuat sentalan atau tidak kepada anjing mereka.

Selepas proses sentalan, pancuran air lembut bersama syampu mesra haiwan digunakan untuk pembersihan menyeluruh.

Menariknya, sistem AI akan menganalisis saiz dan jenis bulu untuk menentukan tekanan air serta gerakan berus silikon.

Langkah itu bagi memastikan ‘spa automatik’ tersebut menjadi lokasi menenangkan buat anjing sepanjang tempoh mandi dan pengeringan.

Sementara itu, menurut Pengasas Woofwoof Lux, Carol Hu, idea membangunkan mesin tersebut diinspirasi daripada masalah peribadinya yang sering mengalami kesukaran memandikan anjing peliharaan.

“Proses memandikan anjing yang benar-benar kotor memakan masa lama. Jadi, sekiranya ada sebuah mesin automatik seperti mesin membasuh kereta, mungkin ia menyenangkan.

“Saya terfikir, kita boleh menggunakan teknologi yang lebih pintar bagi memudahkan haiwan peliharan menjalani kehidupan lebih selesa dan menyenangkan pemiliknya,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Carol turut menekankan bahawa mesin tersebut direka agar tidak memberi tekanan kepada haiwan sehingga menyebabkan ia takut dan meronta-ronta untuk keluar.

“Keselamatan haiwan adalah keutamaan kami, sememangnya itu menjadi tujuan asal mesin mandian automatik ini dibangunkan.

“Namun, haiwan mungkin akan berasa takut pada peringkat permulaan, sebelum ia dapat membiasakan diri dengan mesin ini,” katanya.

Difahamkan, mesin yang sudah menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Mexico itu boleh diperoleh pada harga sekitar AS$10,000 (RM47,000) seunit.

Menerusi pengenalan teknologi mesin mandian automatik itu, ia dilihat mampu memberi manfaat besar kepada industri penjagaan haiwan peliharaan, khususnya perniagaan dandanan (grooming).

Dengan penggunaan mesin automatik itu, pengusaha peniagaan dandanan boleh meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

Bagi pemilik haiwan pula, mesin itu menawarkan kemudahan signifikan terutama bagi mereka yang sibuk atau tidak mempunyai pengalaman dalam memandikan haiwan peliharaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN