fbpx
Pemenang Pertandingan Business Combat sempena PUM Peringkat Kebangsaan 2026 bergambar bersama Fuziah (belakang, lapan dari kiri); Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar (tujuh dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz (enam dari kiri).

Empat inisiatif SSM 2026 perkukuh pematuhan, bantu PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026 dalam usaha memperkukuh pematuhan korporat serta merancakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Langkah itu selaras dengan komitmennya sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkasa ekosistem perniagaan yang dipercayai, cekap dan lestari.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, empat inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pematuhan korporat serta mengurangkan beban komuniti perniagaan, khususnya PMKS.

Menurut beliau, inisiatif pertama ialah pelaksanaan Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang berdepan kesukaran memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016.

Melalui pendekatan itu, syarikat boleh mendapatkan khidmat nasihat terus daripada pegawai SSM selain memulihkan dokumen tertunggak seperti Penyata Tahunan, Penyata Kewangan dan maklumat pemunyaan benefisial.

“Kempen ini akan berlangsung dari 16 April hingga 30 September 2026 dengan beberapa kemudahan termasuk tempoh tiga bulan bagi serahan dokumen tertentu serta pengurangan kompaun.

“Syarikat yang menyertai kempen ini turut berpeluang menikmati pengecualian tindakan pendakwaan dan pengurangan kompaun bagi kesalahan tertentu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Usahawan Muda (PUM) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia, kelmarin.

Fuziah (dua dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia kelmarin.

Sementara itu, inisiatif kedua melibatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P), yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk pembaharuan tahunan tanpa caj.

Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan kos pematuhan, malah menggalakkan penyertaan lebih inklusif dalam bidang keusahawanan.

SSM turut melanjutkan tempoh Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun, sekali gus memberi peluang kepada usahawan B40 serta pelajar IPTA/IPTS dan institusi kemahiran memulakan perniagaan tanpa kos.

“Langkah ini membantu me­ngurangkan halangan kemasukan ke dalam dunia perniagaan di samping menyokong kelestarian PMKS,” jelas Fuziah.
Inisiatif keempat pula melibatkan pengenalan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE), sebagai kategori baharu di bawah SPPP.

Skim tersebut menawarkan pendaftaran perniagaan percuma bagi tahun pertama kepada warga emas, sekali gus membuka peluang kepada golongan itu menjana pendapatan dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ini selari dengan keperluan negara menghadapi cabaran penua­an penduduk apabila peratusan individu berumur 65 tahun ke atas dijangka terus meningkat,” ujarnya.

Pelaksanaan dua inisiatif pertama akan bermula pada 16 April 2026, manakala dua lagi bakal berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Pada majlis sama, Fuziah turut menyampaikan hadiah Pertandi­ngan Business Combat sempena PUM Peringkat Kebangsaan 2026, dengan Universiti Malaysia Kelantan muncul johan dan penerima Anugerah Booth Terbaik, masing-masing meraih wang tunai RM15,000 berserta trofi, dan wang RM1,000.

Naib Johan dirangkul Universiti Teknologi Mara yang menerima wang tunai RM10,000 berserta trofi, dan Universiti Putra Malaysia beroleh tempat ketiga untuk me­nerima RM5,000 berserta trofi.

Universiti Kuala Lumpur pula memenangi Anugerah Video Terbaik dan menerima RM1,000.

Dalam pada itu, Fuziah menyeru komuniti perniagaan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang, serta mewujudkan persekitaran perniagaan domestik yang lebih berdaya saing dan inklusif.

Jelasnya, inisiatif baharu itu mencerminkan kesungguhan KPDN melalui SSM dalam me­nyahut seruan Perdana Menteri agar semua pihak mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mengutama­ keperluan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Beliau menambah, pelaksanaan yang tersusun dan berterusan diyakini mampu memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

“Menurut statistik SSM sehingga 28 Februari 2026, seramai 250,859 belia berumur 18 hingga 40 tahun menjadi pengarah syarikat, manakala 261,107 lagi merupakan pemegang saham.

“Selain itu, seramai 649,260 belia menjadi pemilik perniagaan dan 40,840 lagi berdaftar sebagai rakan kongsi di bawah entiti Perkongsian Liabiliti Terhad.

“Angka ini membuktikan belia Malaysia mempunyai potensi besar untuk memimpin dan mencorak arah ekonomi negara,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN