PETALING JAYA – Pelakon sensasi Nadia Brian percaya akan kewujudan karma dan itu akan berbalik kepada individu yang sengaja melakukan penganiayaan terhadap dirinya.
Nadia atau nama lengkapnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, yakin setiap perbuatan baik mahupun buruk bakal mendapat pembalasan setimpal.
“Tak apa karma itu wujud. Awak kenakan saya, orang lain 10 kali ganda akan kenakan awak. Sumpah saya cakap,” coretnya menerusi Threads.
Begitupun, pelakon filem Block 404 itu tidak memperincikan mahupun memberi bayangan hantaran tersebut ditujukan kepada pihak mana.
Sekali gus, perkongsiannya mencetuskan tanda tanya netizen yang cuba meneka identiti individu dimaksudkan.
Menerusi ruangan komen, ramai mendakwa peringatan itu ditujukan kepada orang terdekat dalam kehidupannya.
Pada komen lain ada dalam kalangan peminat turut berharap Nadia terus kuat, selain mendoakan agar aktres itu dikelilingi insan baik.
“Terus kuat Nadia. Biar orang sakitkan kita. Dia akan dapat bahagian dia.
“Awak kena bersabar saja. Kekal positif benda yang baik akan datang pada awak,” komen seorang netizen.
Namun, aktres terbabit tidak memberikan maklum balas kepada mana-mana komen bagi menjelaskan perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE














