fbpx
MUHAMMAD FAIZAN membaiki salah satu kipas angin ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kubang Jambu, Kuala Terengganu semalam.

Cuaca membahang, tukang kipas ‘senyum lebar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Feno­mena cuaca panas yang me­landa negara termasuk Terengganu sejak awal bulan lalu mengundang rezeki berganda buat seorang pengusaha bengkel membaiki peralatan elektrik apabila menerima ramai pelanggan bagi membaik pulih kipas
angin.

Muhammad Faizan Ali berkata, secara purata, beliau me­nerima empat kipas angin untuk dibaiki setiap hari.

“Sejak bermulanya cuaca panas pada awal bulan lalu, bengkel membaiki peralatan elektrik saya didatangi semakin ramai pelanggan.

“Rata-rata mereka membawa kipas angin yang bukan sahaja tidak berfungsi, malah berputar perlahan untuk dibaiki,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kubang Jambu di sini semalam.

Muhammad Faizan berkata, kebiasaannya sebelum ini, dia cuma menerima tidak lebih 10 unit kipas angin untuk dibaiki setiap bulan.

Beliau berkata, caj pembaikan dikenakan pada kadar antara RM10 hingga RM100 bergantung kepada jenis kerosakan dan alat ganti digunakan.

Dalam perkembangan sama, cuaca panas juga menyebabkan jualan penyaman udara juga meningkat kira-kira tiga kali ganda di bandar raya ini.

Seorang pengurus kedai elektrik, Mohd. Faiz Farhan Moha­mad berkata, sebanyak 100 unit penyaman udara telah terjual sepanjang bulan lalu.

“Kipas angin pun laku dengan kira-kira 100 unit juga berjaya dijual pada bulan lalu terutama menjelang sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Ramai pelanggan mencari penyaman udara dan kipas angin kerana tidak tahan dengan cuaca panas yang berlaku sekarang,” katanya.

Mohd. Faiz berkata, juruteknik kedainya tidak menang tangan untuk memenuhi jadual
pemasangan penyaman udara di rumah pelanggan-pelanggan.

Beliau berkata, ia menyebabkan sebahagian jadual pemasa­ngan penyaman udara di sebahagian rumah pelanggan terpaksa ditangguhkan hingga ke keesokan harinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN