SEORANG sahabat lama saya yang mesra dipanggil Siva atau ada yang mengenalinya sebagai Big Appu merupakan seorang pemancing tegar dan kami selalu bersama memancing pelbagai jenis ikan di beberapa lokasi secara menebing.
Salah satu padang pancing yang kerap kami terjah ialah Tasik Biru di Kundang Selangor. Di sini, ikan peacock bass (PB) menjadi target utama kami dengan kaedah mengilat gewang.
Dalam salah satu trip kami ke tasik tersebut, Siva memilih menggunakan soft plastic (SP) jenis micro worm menggunakan tali berkekuatan 8lb. Dia mengaplikasikan teknik ‘drop and jerk’ di sekitar kawasan cerun (drop-off) dan rimbunan pokok renek mati yang tenggelam. Banyak ikan PB saiz tapak tangan berjaya digodanya.
Sementara saya yang menggunakan gewang topwater dan minnow langsung tidak merasa apa-apa sambaran dari PB, berkemungkinan gewang-gewang tersebut tidak melalui zon serangan ikan, sementara SP yang dimainkan rapat di dasar oleh Siva adalah sebaliknya.

Puas menyasarkan ikan PB, kami berpindah lokasi pula mencari haruan. Kali ini Siva menggunakan SP berbentuk ikan jenama Hinomiya. Saya yang tidak membawa apa-apa SP hanya melihat dia merembat beberapa ekor haruan.
Hari semakin lewat petang dan saya beransur pulang terlebih dahulu dan berjanji untuk mengulangi memancing di tempat yang sama nanti.
Malangnya, perjanjian tersebut tidak tertunai berikutan saya ada komitmen peribadi yang perlu dilunaskan. Siva pula pulang ke kampung halamannya di Melaka di minggu yang sepatutnya kami memancing bersama.
Melaka

Gambar-gambar hasil pancingannya di beberapa lokasi di Melaka menyusul melalui aplikasi WhatsApp membuatkan saya betul-betul teruja dan rasa menyesal tidak dapat mengikutinya.
Banyak juga tangkapan ikan berupa haruan, temensis dan tarpon dipancingnya dengan kaedah mengilat gewang secara menebing di Sungai Malim dan kawasan sekitarnya.
Kebanyakan ikan-ikan tangkapannya dilepaskan semula, kecuali beberapa ekor haruan bersaiz cantik jika ada permintaaan dari saudara-mara atau sahabatnya yang biasanya akan dimasak untuk khasiat perubatan selepas bersalin atau pembedahan.
“Ikan-ikan di Melaka ini lagi ganas bang, jarang hendak kum pau jika turun di sini,” tulis Siva menamatkan bicara di teks yang dihantarnya.
Inilah cerita ringkas sahabat sehobi saya dari kaum India, membuktikan aktiviti memancing ini merentas sosio budaya antara kaum di tanah air tercinta kita ini.














