fbpx
Zulaikha (tengah) bersama sebahagian pembantunya menunjukkan bungkusan ketupat palas yang siap dilipat di Kampung Lakai, Jelebu baru-baru ini. – NOR AINNA HAMZAH

Ketupat Palas Kelantan sampai ke London, Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELEBU – Siapa sangka dengan hanya bermula sekitar 100 kilogram ketupat palas yang dijual kira-kira tujuh tahun lalu di Kampung Lakai di sini, air tangan Ketupat Palas Enot itu kini sudah berjaya ‘terbang’ sehingga ke London dan Arab Saudi.

Bahkan, lebih membanggakan, ketupat palas pengusaha­nya, Zulaikha Zainal, 37, yang sinonim dengan juadah pagi raya itu mampu terjual sehingga mencecah hasil enam angka.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ketupat palasnya sudah pun sampai ke luar negara seperti London dan juga Arab Saudi sebagai bekalan makanan semasa melancong.

Katanya, kira-kira lapan penduduk setempat serta berdekatan akan membantu menjadi tukang lipat ketupat palas bermula dua bulan sebelum Ramadan.

“Mula-mula memang saya dan suami, Mohd. Izwan Afendi Abd. Aziz, 38, buat sendiri sahaja, namun sejak tiga tahun lalu, permintaan amat menggalakkan sehingga kita mampu menjual lebih 4 tan ketupat palas setiap kali musim perayaan.

“Inilah pendapatan kami ketika musim raya. Ketupat palas ini memang produk bermusim, raya sahaja permintaan dia akan melonjak tinggi dan kebiasaannya kami memang tak menang tangan serta menutup tempahan seminggu sebelum raya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Lakai, di sini baru-baru ini.

Zulaikha (kiri) ketika mengisi pulut ke dalam bungkusan ketupat ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, selain di Negeri Sembilan, dia kini memiliki le­bih 20 ejen di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Johor.

“Bagi memenuhi permintaan ramai, Ketupat Palas Enot menyediakan empat pilihan iaitu ketupat palas lemak, jagung, pulut hitam dan kacang,” katanya.

Katanya, dia sangat berharap agar menu tradisional itu tidak luput ditelan zaman lebih-lebih lagi dengan pelbagai pilihan makanan tradisional segera dalam bungkusan plastik ketika ini.

“Malah, saya jual ketupat palas ini pun sebab saya dah jatuh cinta dengan rasa ketupat palas mentua abang saya yang me­netap di Kelantan.

“Oleh itu, saya membuat beberapa percubaan untuk dapat menghasilkan ketupat palas citarasa Kelantan, namun dengan cara yang lebih mudah,” katanya.

Tambahnya, walaupun tekstur ketupat palasnya adalah se­perti di Pantai Timur, namun dia memilih cara lipatan ketupat jantan yang kebia­saannya dibuat di Utara kerana lebih mudah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN