Aidilfitri menjadi medan terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia setelah sekian lama tidak bersua.

Beraya bawa iman bukan mulut longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENAP sebulan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan dan kini giliran Aidilfitri pula menjelma.

Aidilfitri menjadi medan dan saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia setelah sekian lama tidak bersua.

Suasana harmoni dapat dirasai ketika sanak keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga menziarahi sepanjang Syawal, menikmati juadah dihidangkan sambil berbual mesra bertanya khabar.

Indahnya Islam, setiap tuntutan disediakan garis panduan supaya dapat dilaksanakan sebaiknya dan memenuhi kehendak ajaran agama yang sebenar.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Quran Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, dalam aspek menjalinkan silaturahim terutama ketika meraikan Aidilfitri, amalan kunjung-mengunjung amat digalakkan bagi mengeratkan hubungan sesama manusia.

Menurutnya, penekanan hendaklah diberi kepada tujuan ziarah iaitu bagi menghubungkan persaudaraan dan mengeratkan hubungan sedia ada selain meluaskan rangkaian kenalan dalam menjalinkan hubungan sesama insan.

“Ibu bapa perlu mainkan peranan untuk mendidik anak supaya berkenalan dengan kaum kerabat.

“Kita tidak mahu apabila balik kampung anak-anak dibiarkan leka dengan telefon pintar, gajet atau asyik memerap di dalam bilik sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah Abu Hafiz, kita juga dituntut untuk menjaga lidah dan memelihara diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti orang lain kerana ia termasuk dalam perkara menjaga hubungan silaturahim.

Senada dengan kenyataan itu ialah Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr. Norfaizal Jamain yang menegaskan adab ketika berbicara menjadi tunjang penting dalam menjamin keharmonian sesuatu majlis.

Menurutnya, hari raya menjadi masa terbaik untuk berkumpul dan bermaafan serta mengeratkan hubungan.

“Namun, tanpa kita sedari, kata-kata yang tidak dijaga boleh melukai hati orang lain. Justeru, setiap individu perlu lebih peka dengan apa yang mereka tuturkan.

“Antara contoh tutur kata yang perlu dielakkan dan diterima saban tahun ialah soalan dan skrip berbentuk peribadi seperti “bila mahu berkahwin?” atau “bila mahu dapat anak?”.

“Meskipun soalan ini mungkin dilontarkan tanpa niat buruk, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada individu yang menghadapinya,” katanya.

Hal ini kerana setiap individu mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan ada yang menghadapi cabaran dalam perkahwinan atau kehidupan berkeluarga.

Tambahnya, mengkritik penampilan seseorang, sama ada mengenai berat badan, kulit, atau cara berpakaian juga mesti dielakkan.

“Etika dalam perbualan juga harus diberi perhatian terutamanya ketika berbicara tentang hal politik, ekonomi atau isu sensitif lain.

“Jika sesuatu topik boleh membawa kepada pertengkaran atau perasaan kurang senang, lebih baik dielakkan daripada terus membincangkannya dalam suasana hari raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN