fbpx
INDUSTRI minyak dan gas menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada belia yang berminat.–GAMBAR HIASAN

Bina kerjaya industri minyak dan gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI minyak dan gas menjadi satu bidang yang menawarkan peluang kerjaya terutamanya bagi mereka yang memiliki sesuatu kemahiran.

Namun begitu, tidak ramai mengetahui tentang laluan yang perlu dipilih untuk bekerja di dalam bidang tersebut.

Sebenarnya, hanya 12 hari latihan, ia sudah mampu membuka laluan kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Itulah antara keunikan inisiatif Jana Kerja Malaysia yang kini menyasarkan 2,000 peluang pekerjaan kepada belia tempatan sepanjang tahun ini, sekali gus menepis persepsi bahawa sektor berimpak tinggi itu sukar ditembusi.

Inisiatif berkenaan diterajui oleh Arena Edu Ventures Sdn. Bhd. yang telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Blitz Training & Consultancy Sdn. Bhd. serta syarikat induknya, HRSB Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja tempatan dalam industri minyak dan gas.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai persediaan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir menjelang pelaksanaan projek turnaround dan shutdown berskala besar yang dijadualkan sepanjang tahun ini.

Program di bawah Jana Kerja Malaysia memberi fokus kepada beberapa bidang teknikal utama termasuk penebat paip (pipe insulation), pemancang perancah (scaffolding erector) dan tukang mekanik (mechanical fitter) selain beberapa bidang lain yang mempunyai permintaan tinggi.

Bagi tahun ini sahaja, industri itu memerlukan sekurang-kurangnya 150 orang pipe insulation, 800 pekerja scaffolding dan 200 orang mechanical.

Peluang ini terbuka kepada belia berumur 18 hingga 30 tahun, termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mereka yang tidak mempunyai latar belakang akademik tinggi.

Pengarah Arena Edu Ventures (M) Sdn. Bhd., Muhammad Faisal Suhaimi berkata, kriteria kemasukan adalah rendah dan bersifat inklusif.

“Calon hanya perlu boleh membaca dan mengira, sihat tubuh badan serta mempunyai minat. Mereka yang kurang cemerlang dalam SPM tidak seharusnya menganggap masa depan gelap kerana industri ini menawarkan pasaran kerja yang sangat luas.

“Tahun lalu sahaja, hampir 90 peratus calon yang menyertai program latihan melalui Jana Kerja Malaysia berjaya mendapat pekerjaan termasuk 469 orang dalam bidang scaffolding,” katanya ketika majlis pemeteraian MoU yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

MUHAMMAD FAISAL (hadapan empat dari kanan) bersama Mohd. Sabri (hadapan enam dari kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis pemeteraian MoU yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Blitz Training & Consultancy Sdn. Bhd., Zulfaizal Noordin, bagi bidang scaffolding ia hanya memerlukan 12 hari latihan asas.

“Calon akan melalui proses saringan awal termasuk ujian minat dan kesesuaian bagi memastikan hanya individu yang benar-benar bersedia dan berdisiplin dipilih.

“Semua latihan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman yang datang terus dari industri,” jelasnya.

Tambahnya, selepas latihan asas, peserta akan memasuki fasa inkubator industri selama tiga bulan, latihan diteruskan dalam persekitaran kerja sebenar.

Dalam tempoh ini, peserta dibayar gaji minimum, sebelum penilaian dibuat untuk menentukan tahap kemahiran dan penempatan yang sesuai.

Tawaran gaji yang lebih tinggi akan diberikan selepas tempoh tiga bulan, sejajar dengan peningkatan pengalaman dan kecekapan.

Dalam jangka panjang, pendapatan pekerja sangat bergantung kepada kemahiran dengan sesetengah pekerja mahir seperti pengimpal berpotensi memperoleh pendapatan mencecah RM1,000 sehari.

Untuk melayakkan diri bekerja di loji minyak dan gas, calon perlu melengkapkan beberapa keperluan termasuk pensijilan keselamatan, pemeriksaan kesihatan serta induksi.

Melalui Jana Kerja Malaysia, semua proses ini diuruskan sepenuhnya.

Calon akan dibimbing untuk mendapatkan Oil & Gas Safety Passport (OGSP), CIDB Green Card, menjalani pemeriksaan kesihatan serta mengikuti induksi mengikut lokasi loji di bawah syarikat yang mereka bakal bekerja.

Setiap loji mempunyai keperluan induksi berbeza dan turut melibatkan tapisan keselamatan ketat selaras dengan status loji sebagai aset strategik negara.

Naib Presiden Eksekutif, Usaha Niaga Korporat & Pertumbuhan Strategik HRSB Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Sabri Zahari berkata, industri minyak dan gas amat memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

Terangnya, bidang ini bukan seperti kerja biasa.

“Ia menuntut pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan dan kelengkapan sijil. Sebab itu Jana Kerja Malaysia berperanan sebagai penghubung yang menyediakan calon lengkap dengan kemahiran dan pensijilan.

“Jika calon melepasi saringan, sihat tubuh badan, tiada rekod jenayah dan mematuhi polisi industri, saya boleh katakan peluang untuk bekerja adalah hampir 100 peratus,” katanya.

Selain latihan dan penempatan pekerjaan, Jana Kerja Malaysia turut memperkenalkan Program Transformasi Minda yang memberi pendedahan awal tentang cabaran sebenar industri minyak dan gas, disiplin kerja, pengurusan kewangan serta perancangan laluan kerjaya sehingga lima tahun akan datang.

Pengarah Pemasaran Arena Edu Ventures (M) Sdn. Bhd. Raja Mohd. Khairi Raja Raimi berkata, ada kalanya belia yang ingin bekerja dalam industri minyak dan gas mereka tidak tahu tahap kesukaran dan cabaran yang harus dilalui.

“Kami tidak hanya menyediakan latihan dan pekerjaan tetapi bimbingan untuk peningkatan laluan kerjaya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Jadi, mereka dapat bersedia dari awal kerana sudah dapat gambaran menyeluruh tentang industri ini,” jelasnya.

Secara keseluruhan, Jana Kerja Malaysia bukan sekadar platform latihan atau penempatan pekerjaan tetapi jambatan sah dan berstruktur yang menghubungkan belia dengan industri minyak dan gas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN