fbpx
Teknologi ini membolehkan pemancing melihat pergerakan ikan secara langsung di sekitar bot.

Sonar FFS ‘mata kedua’ bawah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN alat forward-facing sonar (FFS) atau ‘sonar menghadap ke depan’ semakin mendapat perhatian dalam bidang perikanan dan kalangan komuniti pemancing profesional.

Teknologi yang membolehkan nelayan atau pemancing melihat pergerakan ikan secara langsung di sekitar bot itu bukan sahaja mengubah teknik memancing, malah turut dianggap sebagai satu revolusi moden masa kini di seluruh dunia.

Menurut pemancing profesional, Jeff Samuel, alat tersebut berfungsi seperti ‘mata kedua’ di bawah permukaan air yang dapat memberikan gambaran masa nyata tentang kedudukan, struktur dasar serta tindak balas ikan terhadap umpan.

“FFS merupakan sistem sonar masa nyata yang membolehkan pemancing mengetahui apa yang berlaku dengan paparan grafik berdefinisi tinggi, mengesan struktur bawah air, pergerakan ikan dan melihat bagaimana ikan bertindak balas terhadap umpan yang dilontarkan.

“Kelebihan utama FFS terletak pada keupayaannya memberikan maklumat secara langsung yang membolehkan pemancing tidak lagi bergantung kepada andaian atau pengalaman semata-mata untuk menentukan lokasi (lubuk) ikan,” katanya di portal Game & Fish.

FFS memiliki kesamaan dengan alat ultrabunyi yang digunakan di hospital untuk melihat bayi dalam kandungan tetapi ia sebaliknya diletakkan di posisi tertentu di bot untuk mengetahui jarak jauh di dalam air.

Isyarat yang diterima akan dipaparkan di skrin apabila transduser (penderia) akan menghantar ribuan denyutan gelombang bunyi frekuensi tinggi sekitar 500 kilohertz hingga 1.1 megahertz ke arah hadapan bot.

Imej ikan yang kelihatan pada skrin FFS sangat jelas terutamanya jika dibandingkan dengan sonar 2D (dimensi) tradisional yang kelihatan seperti melihat peta topografi (sonar tradisional) dengan menonton rakaman video secara langsung (FFS).

Alat tersebut bagaimanapun tidak memiliki kemampuan untuk menetapkan jenis ikan yang diinginkan untuk dilihat di skrin.

Sebaliknya, pemancing boleh mengenal pasti jenis ikan, gambaran saiz dan memutuskan sama ada ikan tersebut berbaloi untuk diburu atau tidak, sekali gus menjadikan proses memancing lebih strategik dan cekap.

Samuel menunjukkan hasil tangkapannya.

“Penggunaan FFS sangat efisien terutama buat peserta yang menyertai pertandingan memancing atau kejohanan profesional kerana boleh digunakan di pelbagai lokasi sama ada danau, sungai, tasik atau lombong.

“Alat ini boleh juga digunakan di laut, namun kurang efektif jika berada di kawasan laut dalam terutama kedalaman lebih 100 kaki (30.5 meter) sementara jarak maksimum sekitar 30 hingga 60 meter hanya untuk mendapatkan imej yang jelas pada skrin.

“Lokasi paling sesuai digunakan adalah di sungai kerana kawasan yang lebar, arus tidak terlalu deras dan sangat membantu mencari lubuk di dasar sungai melainkan berada di sungai cetek sekitar 0.91 meter hingga 1.52 meter,” ujar Samuel.

Biarpun mempunyai kelebihan dengan keupayaan mengesan ikan secara spesifik, namun Samuel tidak menolak alat tersebut memiliki kekurangan apabila pemancing berisiko menyasarkan ikan yang sama berulang kali.

Hal itu sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem jika tidak dikawal dengan amalan tangkap dan lepas.

“Penggunaan FFS ini tetap bergantung kepada kemahiran kerana meskipun mampu memberikan keputusan secara masa nyata, namun ia tidak menjamin tangkapan jika pemancing tidak memahami pergerakan ikan, pemilihan umpan yang sesuai atau teknik tangkapan.

“Ada juga segelintir pemancing baharu berdepan kesukaran menggunakan FFS kerana maklumat yang terlalu banyak boleh mengelirukan tanpa latihan yang mencukupi.

“Malah, sesetengah pertandingan juga mula mempertimbangkan had atau larangan penggunaan teknologi ini bagi mengekalkan keseimbangan persaingan (sekiranya menyertai kejohanan),” katanya.

Walaupun mencetuskan perdebatan tentang etika dan keadilan, FFS tidak dapat dipisahkan daripada evolusi sukan memancing moden yang secara kesimpulannya dapat menawarkan kelebihan berdasarkan ketepatan dan kefahaman terhadap tingkah laku ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN