Saudara Pengarang,
Pada 2011, seingat saya harga jualan getah di kampung pada harga lebih RM8 sekilogram. Ketika itu, orang kampung macam orang kaya baru.
Antaranya disebabkan bekalan getah jatuh ekoran keadaan cuaca, manakala permintaan tetap tinggi selain gangguan lain di negara pengeksport utama.
Permintaan dari negara membangun, khususnya China dan India, meningkat pesat pada masa itu disebabkan pertumbuhan ekonomi yang kuat dan berkembangnya industri kereta yang menggunakan banyak getah untuk tayar.
Berikutan itu, ramai pekebun beralih kepada tanaman pokok getah. Habis semua pokok kelapa sawit ditebang dan diganti dengan tanaman getah.
Bagaimanapun, selepas itu, harga getah mula menurun dengan ketara dalam tahun-tahun berikutnya. Ketika ini harga getah di kampung tidak sampai RM3 sekilogram.
Begitu juga dengan nasib pekebun durian musing king beberapa tahun akan datang. Sebelum ini harga musang king pernah dijual melebih RM80 sekilogram, tetapi sekarang jatuh kepada RM10 sekilogram.
Keluasan ladang musang king juga telah meningkat setiap tahun sehingga pengeluarannya melebihi permintaan. Ramai pekebun durian kini mula merasa impaknya.
Adakah nasib pekebun durian juga akan jadi seperti pekebun getah selepas ini?
Penoreh Getah
Kuala Kangsar














