BERMULA secara sederhana di tepi jalan pada November 2021, Brkfst.co menawarkan sarapan berkonsepkan menu Barat, namun disesuaikan dengan cita rasa makanan pagi masyarakat setempat.
Menu berasaskan English muffin, bagel dan omelet (telur dadar) menjadi fokus utama Brkfst.co yang kini beroperasi di Serasa Garden, Taman Melawati, Selangor sejak tiga tahun lalu.
Biarpun ada beranggapan percaturan pemilik Brkfst.co, Ruszaidi Alias seperti melawan arus norma menu sarapan tradisional. Namun, dia tetap optimis dengan matlamatnya mengetengahkan hidangan ala Barat kepada pelanggan.
Kata Ruszaidi atau mesra disapa sebagai Zaidi, kelainan itu menjadi kekuatan utama jenama Brkfst.co yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan.
“Awalnya idea menyediakan menu sarapan Barat ini bermula dengan pengalaman peribadi dan minat mendalam terhadap makanan berasaskan English muffin.
“Dari situ kami bangunkan pelbagai pilihan menu yang diolah menggunakan resipi sendiri agar dapat memberikan kelainan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Brkfst.co juga menggunakan adunan tepung, roti dan sos hasil olahan sendiri.
“Roti kami ditempah khas mengikut cita rasa dan apa yang kami mahukan, tidak sama seperti yang berada di pasaran.
“Memandangkan roti ini dibuat mengikut kesesuaian permintaan kami, jadi pembekal tidak akan menjualnya sembarangan dan itu menjadi ciri eksklusif kami apabila pelanggan hanya dapat merasakan roti tersebut di Brkfst.co saja.

“Sos yang menjadi pelengkap hidangan termasuk tepung gorengan daging ayam dan kacang panggang juga diolah dengan campuran rempah bersama bahan-bahan lain mengikut resipi kami sendiri,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Nur Amani Basyirah.
Variasi pilihan English muffin seperti egg muffin, egg bacon muffin, chicken muffin, pullbeef muffin atau fish fillet muffin ditawarkan buat pelanggan bersama menu lain antaranya big breakfast wrap dan big supreme breakfast.
Tidak hanya itu hidangan bagel spicy chicken, bagel cajun chicken, bagel cream cheese, bagel egg and chicken, bagel egg and bacon, bagel pullbeef, bagel fish fillet dan bagel BLT khusus buat mereka yang menginginkan kelainan.
Di samping menyediakan hidangan berdasarkan ramuan tersendiri, Brkfst.co juga menawarkan enam jenis pilihan telur dadar yang turut menjadi tarikan utama pelanggan.
“Bagi memberikan lebih kelainan, kami menawarkan pelbagai pilihan omelet iaitu omelette cheese, omelette spicy chicken, omelette cajun chicken, omelette egg, omelette pullbeef dan omelatte beef patty.

“Setiap satu dihidangkan dengan cara berbeza iaitu omelette spicy chicken, telur dadar akan dihidangkan bersama isi daging ayam yang digoreng sementara omelette pullbeef dihidangkan bersama hirisan daging lembu.
“Begitu juga dengan omelette cajun chicken yang dihidangkan bersama daging ayam sementara omelatte beef patty bersama dengan daging lembu (daging burger) manakala omelette egg pula ialah rasa asli yang mempunyai campuran cendawan bersama tomato,” jelasnya.
Brkfst.co yang beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari juga bakal muncul dengan pilihan menu sempena meraikan bulan Ramadan.
Selain itu, sebuah lagi premis Brkfst.co akan dibuka di Kajang dalam tempoh masa terdekat yang tampil dengan konsep kafe penuh dan waktu operasi lebih panjang dari 7.30 pagi hingga 8.30 malam merangkumi menu sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
“Pada Ramadan nanti kami akan memperkenalkan konsep break fasting platter iaitu menggabungkan elemen menu sarapan sebagai juadah berbuka puasa dalam satu dulang hidangan keluarga.
“Kami juga merancang untuk membuka cawangan ketiga bagi memudahkan pelanggan di lokasi berhampiran untuk merasai hidangan kami,” katanya.














