SEBELUM era media sosial, masyarakat sudah lama terdedah kepada promosi melalui selebriti, testimonial dan iklan.
Kemunculan media sosial secara tidak langsung mempercepatkan penyebaran mesej, meluaskan capaian pengaruh dan mengaburkan sempadan antara perkongsian tulen dan promosi berbayar.
Bagaimanapun dalam persekitaran digital hari ini, kandungan yang bersifat visual, sensasi dan emosional lebih mudah menarik perhatian berbanding maklumat berfakta.
Naratif kejayaan, perubahan drastik serta gaya hidup ideal sering dipersembahkan sebagai realiti yang boleh dicapai, sekali gus mencipta harapan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang kepercayaan, literasi media dan tanggungjawab bersama antara pempengaruh, platform dan pengguna.
Mengulas perkara ini, wartawan Kosmo! Ahad, NUR HUDA MUSA bertemu Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof. Madya. Dr. Wan Hartini Wan Zainodin di pejabatnya baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Terdapat dalam kalangan pempengaruh giat mempromosikan produk dan gaya hidup, sehingga ada antaranya mewujudkan harapan palsu. Adakah ia satu trend baharu atau kesinambungan kepada amalan lama yang kini menjadi lebih ketara akibat pengaruh media sosial?
DR. WAN HARTINI: Sebenarnya, sebelum kemunculan media sosial, amalan mempromosikan produk melalui individu berpengaruh sudah lama wujud.
Bezanya, ketika itu pendedahan hanya berlaku melalui saluran seperti surat khabar dan majalah. Jika seseorang membeli akhbar, barulah mereka terdedah kepada iklan tersebut, manakala yang tidak membelinya tidak terpengaruh.
Pada masa itu, promosi banyak menggunakan selebriti bagi mewakili atau menjadi duta sesuatu produk. Bentuk promosi seperti testimonial dan advertorial ini diterima ramai kerana masyarakat ketika itu tidak mempunyai banyak sumber atau alternatif maklumat lain.
Apabila melihat seseorang selebriti kelihatan cantik atau berjaya, orang ramai cenderung mempercayai bahawa produk tersebut benar-benar digunakan oleh individu berkenaan.
Perbezaan ketara hari ini ialah kelajuan dan skala capaian maklumat. Media sosial membolehkan kandungan yang dipelopori oleh pempengaruh tersebar dengan sangat pantas.
Setiap pempengaruh mempunyai pengikut tersendiri, dan semakin ramai pengikut, semakin luas capaian serta pengaruh algoritma mereka. Selain itu, pengguna kini lebih tertarik kepada kandungan yang pendek, menarik dan bersifat viral.
Kandungan sebegini sering kelihatan meyakinkan walaupun tidak semestinya tepat. Beberapa kajian ilmiah juga menunjukkan tahap kepercayaan terhadap pempengaruh memberi kesan langsung kepada tingkah laku pengikut mereka.
Kelebihan pempengaruh mampu tarik pengikut?
Apabila seseorang pempengaruh pandai berkomunikasi, kelihatan yakin dan mampu menampilkan kesungguhan secara dramatik, orang ramai menjadi lebih mudah percaya.
Akibatnya, walaupun terdapat dakwaan yang berlebihan atau melampau, pengikut cenderung mengabaikan maklumat lain dan memilih untuk mempercayai apa yang disampaikan.
Individu yang lebih matang biasanya mampu membezakan antara fakta dan promosi. Namun, kajian menunjukkan generasi muda, khususnya Generasi Z, golongan yang paling mudah dipengaruhi oleh kandungan pempengaruh di media sosial.
Sejauh mana pempengaruh perlu bertanggungjawab terhadap kesan kandungan yang mereka hasilkan, terutamanya melibatkan promosi berbayar?
Sebenarnya, apabila pempengaruh tidak mendedahkan kerjasama berbayar, orang ramai tetap sedar bahawa mereka dibayar. Namun, ada kandungan yang tulen seperti dihasilkan Khairul Aming dan Syamimia, yang membina kepercayaan kerana kejujuran mereka.
Ada sesetengah pempengaruh yang terlalu jelas membuat kandungan berbayar, misalnya melalui dakwaan seperti ‘ini botol ketiga saya gunakan’, yang mudah menimbulkan keraguan.
Apabila pempengaruh menerima bayaran, mereka berada dalam dilema kerana perlu menjaga sumber pendapatan. Kejujuran sepenuhnya boleh memberi kesan negatif kepada hubungan dengan penaja, manakala ulasan yang terlalu positif pula boleh menjejaskan kepercayaan pengikut.
Ada pempengaruh yang cuba bersikap lebih seimbang dengan menyatakan kesesuaian produk berdasarkan pengalaman peribadi. Pendekatan ini lebih wajar. Namun, apabila kandungan dihasilkan atas dasar pendapatan, keaslian sering menjadi terikat dan sukar untuk dipastikan sepenuhnya.
Mengapa testimoni peribadi dan visual ‘sebelum dan selepas’ begitu berkesan walaupun tidak disokong bukti kukuh?
Dalam psikologi komunikasi, ada prinsip asas iaitu ‘seeing is believing’ , apa yang orang nampak itulah yang mereka cenderung percaya.
Dalam konteks media dan ‘information warfare’, visual memainkan peranan jauh lebih kuat berbanding kata-kata. Paparan sebelum dan selepas misalnya, mampu menarik perhatian dan membentuk kepercayaan walaupun tanpa penjelasan lanjut.
Namun, kepercayaan itu bergantung pada konteks. Jika seseorang yang sebelum ini berisi tiba-tiba kurus tanpa penjelasan, orang akan mula ragu.
Sebaliknya, jika perubahan itu disertai dengan gaya hidup yang konsisten seperti bersenam, kepercayaan lebih mudah terbina walaupun produk yang dipromosikan adalah berbayar.
Contohnya, ada pempengaruh kecergasan yang jelas menunjukkan rutin senaman mereka, produk yang dijual dilihat sekadar sokongan kepada usaha sebenar, bukan jalan pintas.
Pendekatan ini lebih beretika kerana pempengaruh tidak hanya menjual tetapi mempamerkan amalan hidup sihat. Tambahan pula, jualan secara lembut (soft sell) sering lebih berkesan berbanding promosi agresif.
Namun, isu timbul apabila individu yang tidak layak bercakap mengenai aspek kesihatan atau perubatan tetap membuat tuntutan perubatan, sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai.
Walaupun ada doktor yang menjadi pempengaruh, penyampaian mereka perlu kekal berasaskan fakta dan etika profesional, walaupun kandungan itu berbayar. Tanpa garis sempadan ini, kepercayaan awam mudah terhakis
Bagaimana emosi seperti harapan, ketakutan dan keinginan dimanipulasi melalui kandungan media sosial?
Emosi seperti harapan, ketakutan dan keinginan sering dimanipulasi dalam kandungan media sosial melalui naratif peribadi pempengaruh.
Contohnya, apabila pempengaruh (berkaitan penjagaan berat badan) berkata ‘kalau saya boleh, awak pun boleh’, ia mencipta harapan dan mendorong orang membeli e-buku, pelan atau produk yang ditawarkan.
Sebaliknya, ketakutan dan kebimbangan pula digunakan melalui mesej yang membangkitkan rasa takut, bersalah atau tidak selamat. Kepercayaan terbina kerana kisah itu dikaitkan dengan pengalaman peribadi pempengaruh yang sudah dipercayai pengikut.
Keinginan pula dimainkan melalui kandungan seperti ‘a day in my life’ yang memaparkan gaya hidup tertentu. Ia memberi gambaran bahawa jika seseorang mengikut cara hidup atau membeli produk yang sama, mereka juga boleh mencapai kehidupan tersebut.
Manipulasi emosi ini boleh bersifat positif atau negatif, bergantung kepada kejujuran dan nilai yang dibawa.
Adakah kandungan sensasi dan janji manis lebih mudah mendapat perhatian berbanding maklumat berfakta?
Ini kerana kebanyakan orang lebih suka cerita berbanding penjelasan panjang. Pempengaruh yang berjaya selalunya mengaitkan produk dengan kisah kejayaan atau pengalaman hidup sebenar, menjadikan mesej lebih meyakinkan dan mudah dipercayai.
Namun, kepercayaan tinggi biasanya terhasil apabila kandungan itu selari dengan minat dan gaya hidup sebenar pempengaruh.
Contohnya, pempengaruh yang benar-benar minat reka hiasan dalaman dan kerap berkongsi hasil kerja sendiri akan lebih dipercayai walaupun sekali-sekala memuat naik kandungan berbayar.
Nisbah kandungan tulen yang jauh lebih banyak berbanding kandungan ditaja membuatkan pengikut masih boleh menerima promosi tersebut.
Kesan jangka panjang budaya ini terhadap kepercayaan masyarakat terhadap maklumat di media sosial?
Dalam jangka panjang, budaya merujuk pempengaruh ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap maklumat di media sosial. Apabila terlalu banyak kandungan bersifat promosi dan berita palsu, orang mula sukar membezakan antara maklumat yang benar dan mengelirukan.
Kajian juga menunjukkan pendedahan berlebihan kepada maklumat tidak sahih mendorong tingkah laku berkongsi berita palsu tanpa semakan. Kebergantungan melampau kepada pempengaruh, tanpa asas literasi maklumat yang kukuh, menyebabkan masyarakat cenderung menerima sesuatu secara bulat-bulat.
Ramai tidak lagi membaca, menyemak fakta atau menilai kandungan secara kritikal, sebaliknya hanya mengikut ulasan pempengaruh termasuk dalam keputusan membeli produk, gaya hidup, malah pandangan tertentu.
Fenomena ini lebih ketara dalam kalangan generasi muda, apabila pengaruh visual, trend dan budaya popular mendorong kepercayaan tanpa penelitian. Apabila disokong pula oleh komen terancang atau tentera siber, ia mengukuhkan ilusi kepercayaan dan menjadikan maklumat lebih sukar dipersoalkan.
Namun begitu, masih ada pengguna yang lebih kritikal dengan merujuk komen dan pengalaman pengguna lain sebagai pengesahan kedua.
Justeru, kesannya bergantung kepada tahap kesedaran, kematangan dan keupayaan individu menilai maklumat sama ada menjadi pengguna pasif atau pengguna yang berfikir secara kritis.
Golongan mana yang paling terdedah kepada pengaruh kandungan sebegini dan mengapa?
Golongan yang paling terdedah ialah Generasi Y dan Generasi Z, selari dengan dapatan kajian akademik. Generasi ini membesar dalam peralihan teknologi atau sepenuhnya dalam era digital, menjadikan media sosial sebahagian daripada kehidupan harian mereka dan pempengaruh sebagai rujukan utama.
Sebagai contoh, dalam Gen Z, pengaruh rakan sebaya dan budaya popular seperti K-pop, fesyen dan kecantikan sangat kuat. Walaupun mereka tidak meniru 100 peratus, pendedahan berulang terhadap gaya hidup, tutorial dan visual tetap mempengaruhi pilihan dan tingkah laku mereka secara tidak langsung.
Pengaruh ini berlaku melalui normalisasi di mana apa yang kerap dilihat akan dianggap biasa dan wajar diikuti. Gen Y pula lebih terdedah kerana mereka mempunyai kuasa beli dan sering menjadi sasaran pemasaran pempengaruh.
Ramai pempengaruh dalam lingkungan usia ini membina kepercayaan melalui perkongsian kehidupan peribadi yang kelihatan jujur, lalu perlahan-lahan menukar kepercayaan itu kepada nilai komersial.
Apabila individu itu sendiri menjadi ‘jenama’, pengaruhnya menjadi lebih kuat.
Namun, kepercayaan ini mudah terhakis apabila kandungan dilihat terlalu dibuat-buat, terlalu kerap menjual atau bercanggah dengan imej sebenar pempengaruh.
Adakah fenomena ini boleh melemahkan literasi media dan pemikiran kritikal masyarakat?
Fenomena pempengaruh pada masa kini sememangnya boleh melemahkan literasi media sekiranya masyarakat tidak sedar bahawa tanggungjawab untuk berfikir secara kritikal terletak pada bahu mereka sendiri.
Memandangkan Malaysia belum mempunyai garis panduan etika yang ketat untuk pencipta kandungan digital, mereka bebas bersuara tanpa memerlukan latar belakang ilmu sahih, yang akhirnya boleh membawa kepada isu ulasan berlebihan.
Keadaan ini menjadi semakin berbahaya apabila wujud ketaksuban dalam kalangan pengikut yang cenderung menerima segala maklumat secara bulat-bulat tanpa melakukan sebarang semak silang.
Literasi media yang sebenar menuntut kita sebagai pengguna untuk sentiasa menilai kredibiliti seseorang individu dan tidak memberikan kepercayaan 100 peratus terhadap apa yang dipaparkan.
Kita harus sentiasa ada ruang keraguan bagi melindungi diri daripada manipulasi maklumat yang didorong oleh kepentingan komersial, jualan, mahupun ideologi tertentu.
Tahap kematangan masyarakat dalam mengulas dan memberi maklum balas di media sosial adalah cerminan sebenar sama ada mereka benar-benar celik media atau sekadar pengikut yang menurut tanpa usul periksa.
Siapa yang sepatutnya memikul tanggungjawab utama dalam media sosial?
Semua pihak ada peranannya, tetapi keseimbangan antara pengaruh, platform, dan literasi pengguna adalah kunci untuk mengelakkan manipulasi.
Pempengaruh memikul tanggungjawab besar kerana pengaruh mereka boleh membentuk kepercayaan ramai sementara platform hanya menyediakan ruang dan algoritma yang memaparkan kandungan, tetapi pengguna yang bijak boleh memilih sama ada terpengaruh atau tidak.
Pengguna pula perlu aktif dalam literasi media dengan memeriksa fakta, menilai kandungan, dan tidak menerima bulat-bulat mesej yang disampaikan.
Nasihat agar tidak mudah terperdaya dengan kandungan yang menjual harapan?
Walaupun kita suka kepada pempengaruh, kita perlu letakkan batasan dan gunakan akal sendiri.
Jangan percaya bulat-bulat walaupun ‘seeing is believing’. Selepas melihat sesuatu, selidik dan semak fakta, terutamanya bagi perkara kritikal seperti kesihatan atau keselamatan.
Perlu diingat, tiada benda percuma sepenuhnya. Jadi, kalau ada tawaran atau produk, pasti ada kepentingan di sebaliknya. Perhatikan juga konsistensi pempengaruh; jika ulasan mereka bercanggah atau berlebihan, itu petanda untuk lebih berhati-hati
Jadilah pengguna yang mempunyai batasan dengan tidak membiarkan ketaksuban kepada mana-mana personaliti membuatkan kita kehilangan sifat kritis. -KOSMO! ONLINE














