SEBERANG PERAI – Kehilangan pelakon Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sejak Rabu lalu ternyata meresahkan semua pihak yang tertanya-tanya di manakah dia berada ketika ini.
Suaminya, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah mendakwa ini bukan kali pertama isterinya melancong ke luar negara termasuk pernah menunaikan ibadah umrah tahun lalu.
Katanya, hatinya kuat mengatakan yang isteri kesayangannya itu tidak sesat, namun merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik bagi menjejaki isterinya yang dilaporkan hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sejak 14 Januari lalu.
“Usaha menjejaki Nadia berdepan cabaran susulan keperluan melalui pelbagai prosedur dan dokumentasi sebelum tindakan susulan boleh diambil oleh pihak berkuasa di sana.
“Saya bukan sesiapa, tetapi saya fikir sekiranya ada campur tangan daripada menteri atau kerajaan, keputusan dapat diperoleh dengan lebih pantas sekali gus mempercepatkan usaha pencarian,” katanya ketika ditemui pemberita di Bertam Putra, di sini.
Menurut Muhammad Kamarul Kabilan, masa memainkan peranan penting kerana sudah lebih tiga hari Nadia dilaporkan hilang dan dia tidak mahu berprasangka buruk, sebaliknya hanya ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepadanya.
Tambahnya, dia percaya isterinya tidak sesat kerana ini bukan pertama kali dia ke luar negara dan menunaikan umrah tahun lalu.
“Sudah menjadi kebiasaan dia akan ‘update’ dan mesej saya dan anak-anak memaklumkan keberadaannya. Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah banyak membantu dan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini berhubung kehilangan isteri,” katanya.
Ujar Muhammad Kamarul Kabilan, setakat ini, semua urusan dikendalikan oleh pihak konsulat dan dia tidak mahu mengganggu siasatan, namun bersedia untuk ke Jeddah sekiranya diperlukan.
Untuk rekod, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara 11 hingga 15 tahun.
Hasil perkahwinan terdahulu, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim turut memiliki seorang anak.
Terdahulu, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu. -KOSMO! ONLINE














