GEORGE TOWN – Dua wanita tempatan berputih mata apabila kerugian RM1.15 juta selepas dijerat sindiket penipuan pelaburan palsu dan sindiket panggilan telefon bulan lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes pertama melibatkan wanita berusia 71 tahun yang mengalami kerugian RM690,500 selepas terperdaya dengan skim pelaburan dalam talian.
Katanya, kejadian bermula apabila perunding syarikat swasta itu tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dilihat di TikTok pada pertengahan November lalu sebelum berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp selepas dijanjikan pulangan sehingga 100 peratus dalam tempoh singkat.
”Mangsa turut diarah memuat turun satu aplikasi bagi tujuan pendaftaran dan pelaburan. Sejak 10 November hingga 23 Disember lalu, warga emas tersebut membuat 20 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat berlainan.
”Mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila gagal mendapat sebarang pulangan, sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan,” katanya hari ini.
Azizee berkata, dalam kes berasingan, seorang pesara swasta berusia 58 tahun kerugian RM462,000 selepas terjerat sindiket penipuan panggilan telefon. Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 22 Disember lepas.
Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil syarikat Touch ’n Go memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan daripada akaunnya. -KOSMO! ONLINE














