DUNGUN – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia lima tahun minggu lalu.
Pemotong rumput berusia 62 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa di kawasan semak, tepi jalan di daerah ini pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, 24 Disember lalu.
Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online pada 28 Disember lalu melaporkan perbuatan keji seorang warga emas terbongkar selepas cucu perempuannya mengadu sakit pada bahagian alat sulit kepada ibunya. – KOSMO! ONLINE














