PETALING JAYA – Rakyat Malaysia menantikan sambutan penuh meriah sempena Tahun Baharu 2026 di seluruh negara dengan persembahan bunga api, konsert dan program keagamaan.
Sambutan di tempat wajib seperti persembahan nyanyian artis di Esplanade KLCC diadakan dengan termasuk pertunjukan bunga api di Pavilion Kuala Lumpur dengan kerjasama Tourism Malaysia.
Tempat wajib lain adalah di IOI City Mall Putrajaya yang turut mengadakan persembahan artis Nadeera, Hael Husaini, Amir Masdi dan ramai lagi beserta bunga api.
Acara di Dataran Putrajaya pula masih belum ada kenyataan rasmi.
Di Selangor, sambutan tahun baharu dibuat dengan acara larian malam, persembahan tarian tradisional dan gerai jualan makanan tradisional anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor di Dataran Melawati bermula pukul 8 malam.
Selain itu, Forum Perdana Ambang Tahun Baharu 2026 akan bersiaran langsung di Facebook Masjid Ukay Perdana yang menerapkan aspek keagamaan selepas waktu maghrib.
Di Negeri Sembilan, sambutan tahun baharu anjuran Parlimen Jelebu dan acara larian malam bermula pada pukul 9 malam di Dataran Pertang, Simpang Pertang bersama konvoi himpunan anak muda dan jualan rahmah buat pengunjung.
Dataran Penggaram di Johor pula menjemput penyanyi terkenal yang berlangsung sehingga 4 Januari 2026.
Di Sarawak Program Countdown 2026 yang diadakan di Tebingan Kuching bermula pada pukul 7 malam yang dimeriahkan bersama penyanyi jemputan dengan penutupan jalan utama.
Sementara di Melaka sambutan bertempat di Encore dekat Pantai Klebang sejak 27 Disember lalu sehingga malam tahun baharu, sekali gus menyambut Malam Peluncuran Tahun Melawat Melaka dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas.
Berlainan di Kelantan, majlis Anak Muda Berselawat bertempat di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV menjemput anak muda untuk menutup tirai tahun ini dengan majlis ilmu.
Di Perak, persembahan kebudayaan pelbagai kaum selain gerai jualan turut berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru, Ipoh bermula pukul 8 malam sehingga 12.30 malam.
Sambutan di Pulau Pinang pula dibuat dalan satu festival termasuk aktiviti sukan larian neon, festival makanan, islamik dan bunga api di Bertam Street Market yang memeriahkan malam tahun baharu nanti.














