KUALA TERENGGANU – Musim tengkujuh memberi rezeki buat penduduk Kampung Banggol Keratong, di sini apabila mampu meraih pendapatan lumayan daripada menjala ikan sungai.
Mereka mampu mengaut hasil jualan hampir RM4,000 dengan menaikkan lebih 800 kilogram (kg) ikan pelbagai spesies dari Sungai Kampung Banggol Kapas berhampiran sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Seorang penduduk, Ahmad Nur Esham Japri, 35, berkata, limpahan air sungai pada setiap episod hujan sewaktu MTL pasti membawa ribuan ikan ke alur sungai berhampiran perkampungannya.
“Sepanjang MTL ini, setiap kali dimaklumkan ramalan episod hujan lebat, saya dan rakan-rakan sekampung pasti mengambil peluang memasang jala dan bubu di sepanjang Sungai Kampung Banggol Kapas.
“Kebiasaannya tidak sampai 24 jam, jala yang kami pasang sudah dipenuhi ikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Keratong, di sini semalam.
Ahmad Nur Esham berkata, tangkapan ikan boleh mencecah 200 kilogram setiap kali mereka menaikkan jala dan bubu selain antara ikan yang kerap berjaya diperolehi ialah terbo, lampam, kawan dan baung.
“Ikan-ikan tersebut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk kampung dan sekitar. Kami menjualnya pada harga hanya RM5 sekilogram dan wang jualan akan dibahagi sama rata antara saya dan rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohammad Kamarudin Kassim, 32, berkata, dia antara pembeli tetap setiap kali mengetahui Ahmad Nur Esham dan rakan-rakannya menangkap ikan sungai ketika tengkujuh.
“Saiz ikan sungai yang ditangkap itu biasanya tidaklah besar tetapi sedap digoreng dan dimakan panas-panas pada musim hujan ini,” tambahnya.















