fbpx
Ikan baji di Cerana Villa Eco Resort yang kami dapat, namun semua dilepaskan kembali.

Teknik seret umpan untuk pancing ikan baji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN baji atau ada sesetengah orang memanggilnya sebagai ikan bebaji mudah ditemui di kawasan muara dan tepi pantai yang dasarnya berpasir dengan bercampur lumpur.

Sesuai dengan namanya, ikan ini memiliki kepala leper umpama ‘baji’ yang biasanya menjadi pasak kepada kapak, tukul atau parang.

Di kiri dan kanan pada hujung kepalanya terdapat duri tajam yang mampu melukakan jari jika tersilap pegang.

Ikan baji memiliki bentuk mulut yang sedikit memanjang di bahagian bawah dan mempunyai gigi-gigi halus tajam serta meruncing ke dalam. Mana-mana mangsa yang digigitnya jarang dapat melepaskan diri.

Bentuk badannya pula menirus ke belakang dengan ekor berjalur putih hitam dan berbentuk separuh bulat.

Bahagian bawah badannya pula cerah keseluruhan dan atas badannya berwarna coklat muda serta bertompok hitam pudar yang seakan warna pasir. Warnanya itu membantu ia menyembunyi-
kan diri di persekitarannya. Penyamaran itu juga memudahkan ia memburu mangsa.

Ikan ini diketahui juga menghentam gewang bersaiz kecil seperti mini soft plastic dan micro jig, namun penggunaan umpan secara pancing dasar adalah teknik yang paling normal digunakan pemancing.

Jika menggunakan umpan, anda boleh menggunakan udang hidup, udang mati, isi ikan dan sotong yang dipotong memanjang.

Disebabkan ia spesies ikan yang menunggu mangsanya melintas, teknik seret umpan di dasar adalah terbaik bagi memancingnya.

Panjang perambut sekitar enam hingga 12 inci panjang dan saiz mata kail dari nombor 12 hingga 16 adalah terbaik untuk ikan ini. Batu ladung pula lebih sesuai menggunakan batu ladung ‘hidup’ saiz kecil dari nombor dua hingga empat, berbentuk buah kana.

Hasilnya
Ikan baji kebiasaannya bukan menjadi target utama pemancing dan selalunya ia adalah tangkapan secara tidak sengaja (bycatch) ketika memancing ikan-ikan lain.

Begitu juga apa yang telah berlaku kepada saya dan Bob ketika memancing di satu muara di Kelantan baru-baru ini.

Antara teknik yang gemar kami lakukan ketika memancing di muara adalah dengan menyeret umpan di dasar secara perlahan-lahan.

Banyak spesies ikan biasanya tergoda dengan teknik ini seperti bebulus, senangin, gelama, siakap merah dan putih serta lain-lain lagi termasuklah ikan baji.

Ikan baji yang dipancing Bob.

Di lokasi ini, Bob berjaya mendapat seekor ikan senangin saiz kecil dengan teknik menyeret umpan di dasar. Memandangkan teknik ini ternyata berkesan, ia diteruskan lagi, dan tidak lama kemudian dia kena seekor ikan baji.

Ikan baji bukanlah ikan yang kuat melawan dan dengan mudah ia dinaikkan.

Ikan ini juga selalunya tidak berkumpulan. Biasanya, ia tidak banyak ada di satu-satu lokasi.

Kami masih mengharapkan ada lagi ikan baji yang sudi dengan umpan kami.

Masalah ikan pendatang
Malangnya selepas itu, bertubi-tubi umpan kami diserang ikan green chromide (GC). Di Kelantan sekarang, ikan GC ini banyak mendominasi kawasan muara. Dalam melayan ikan GC, Bob kena seekor lagi ikan baji bersaiz kecil sedikit daripada yang pertama tadi. Ia dilepaskan kembali untuk menjaga populasinya.

Umpan kami banyak dibazirkan oleh spesies ikan pendatang ini hingga menyebabkan kami kebosanan dan menamatkan sesi pancing.

Kepada sahabat pemancing, jika anda dapat ikan GC ini, jangan sesekali lepaskan semula.

Sebaliknya bawa balik dan ja­dikan hidangan, ia sedap dimasak apa sahaja menu, paling mudah goreng kunyit.

Cerana Villa Eco Resort
Beberapa hari kemudian, kami memancing di lokasi yang lain pula iaitu di Cerana Villa Eco Resort yang terletak di pertengahan jalan menuju ke Muara Senok, Bachok.

Kami begitu bersemangat ingin mencuba lokasi ini kerana salah seorang sahabat berjaya memancing ikan baji yang berskala sekilogram, satu saiz dianggap kasar untuk ikan itu.

Pengunjung boleh memancing dengan bayaran RM5 sehari untuk seorang di sini.

Pagi itu, kami hanya mendapat tiga ekor ikan baji bersaiz kecil yang lebih sesuai dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN