HAL ini terjadi kepada saya yang pada mulanya terjumpa lokasi yang dirasakan baik, namun selepas dua trip, hasilnya tidaklah memberangsangkan, walaupun keÂlibat ikan banyak terlihat bermain air.
Memandangkan saya telah mula bertugas di Tanjung Tualang, Perak, maka saya kerap meronda mencari ‘lubuk-lubuk’ baharu setiap kali selepas waktu kerja. Selepas merujuk kepada penduduk sekitar, saya telah menjumpai satu lombong yang dianggap berpotensi kerana dapat dilihat kelibat toman dan belida bermain air.
Oleh kerana lombong ini tidak sesuai untuk menebing (land based) disebabkan banyak rumput dan semak yang akan menyukarkan pancingan, jadi saya telah merancang untuk turun menggunakan bot.
Percubaan pertama
Pada awalnya, saya mengajak sahabat saya, Along kerana dia mempunyai bot tetapi tidak dapat turun memandangkan ada urusan lain. Tidak berputus asa, saya menghubungi pula seorang sahabat lain iaitu Syed Ali yang turut menyediakan bot sewa di Air Kuning.
Dia yang kebetulan mempunyai urusan di Sungai Galah bersetuju untuk menghantar bot untuk saya guna memandangkan lokasi lombong tersebut tidak jauh.
Mancing berseorangan pasti membosankan, lantas saya mengajak Acik menemani. Sekitar pukul 8 pagi, kami berjumpa dengan Syed Ali di pertengahan jalan dan terus menuju ke lombong tersebut yang terletak di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang.
Pada awalnya, kami bercadang untuk cuba mencari toman dahulu kerana kebiasaannya belida lebih galak ketika matahari tegak.
Lontaran demi lontaran pelbagai jenis gewang tetap tiada sambaran, walaupun kelibat toman mengambil udara sangat banyak.
Boleh dikatakan hampir keÂseluruhan lombong kami tawaf, dan akhirnya saya mendapat sambaran seekor toman bujang menggunakan spinnerbait. Acik pula berjaya menaikkan dua ekor toman bujang menggunakan gewang Deps Spiralminnow.
Oleh kerana tiada lagi sambaran toman, saya memutuskan untuk rapat semula ke lokasi kami menurunkan bot kerana terlihat belida bermain air. Pada mulanya, saya menggunakan soft plastic yang kebiasaannya menjadi sasaran belida, namun ia langsung tidak diendahkannya.
Hampir kesemua gewang saya gunakan, namun sang belida masih sombong. Saya menggunakan gewang terakhir iaitu Rapala Tail Dancer Deep 7cm (TDD7) dan sekiranya tiada sambaran, kami akan tamatkan sesi pancingan.

Lontaran pertama terus diragut belida dan perlawanan tersebut dimenangi oleh saya yang menggunakan padanan joran Major Craft Days 12-20 lb digandingkan bersama kekili Team Daiwa Ziilion 100 SHL.
Ikan dengan anggaran saiz empat kilogram berjaya saya naikkan dan momen tersebut amat indah memandangan itu belida pertama saya naikkan menggunakan gewang.
Walaupun hasil amat kurang tetapi kami tidak berasa sugul memandangkan tidak ‘kumpau’.
Trip kedua
Walaupun hasil pancingan tidak seberapa pada trip pertama, namun sahabat saya, Along berhajat untuk turun juga kerana dia gemar mengilat toman.
Setelah beberapa perancangan, akhirnya kami memutuskan untuk pergi bersama dan memancing separuh hari sahaja.
Kami siap sedia untuk turun sekitar pukul 8 pagi, dan beberapa lontaran gewang selepas itu dia mendapat sambaran seekor toman bujang menggunakan soft plastic jenis paddle tail.
Saya terus teruja dan merasakan mungkin pancingan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Sangkaan saya meleset kerana ikan-ikan di sini teramat culas untuk menyambar gewang.
Beberapa kali saya baling gewang betul-betul di hadapan mulut toman, tetapi langsung tidak dihiraukannya. Kami tidak berputus asa dan terus mengilat di hampir keseluruhan sudut lombong.
Walaupun ada juga beberapa kali toman mengejar dan menyambar gewang, malangnya semua tidak lekat. Berkali-kali mencuba tanpa jemu, akhirnya saya dapat juga menaikkan seekor toman bujang menggunakan gewang permukaan Jackall Bonnie 95.
Kami menamatkan pancingan sekitar pukul 1 petang. Apa yang saya dapat huraikan, banyak faktor akan mempengaruhi hasil pancingan seperti lokasi, keadaan air, cuaca, nasib dan sebagainya.
Namun, apabila berhadapan situasi yang penghuninya agak culas, pemancing perlu bijak mengaplikasi pelbagai kaedah dan jenis gewang untuk memujuk ikan.














