GEORGE TOWN – Di sebalik senyuman dan kegembiraan yang dinikmati Muhammad Helmi Arif Mohd. Hazim, 24, ketika menaiki pentas konvokesyen semalam, ada kisah perjuangan besar yang telah dilalui anak muda dari Kelantan ini sebelum bergelar graduan.
Menurut Muhammad Helmi Arif, perjalanannya untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) bukanlah perkara mudah, tetapi berjaya direalisasikan dengan sebaiknya.
Katanya, sepanjang berada di universiti, dia perlu merencanakan segala kehidupan terutama dalam soal kewangan sehingga membuatkannya untuk bekerja sebagai penghantar makanan atau rider bagi menampung keperluan.
“Semuanya berubah sejak keluarga kecil kami berpisah sehingga saya dan tiga beradik dibesarkan oleh ibu dalam keadaan serba kekurangan.
“Waktu itu saya masih terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku tapi saya nampak sendiri ibu menangis diam-diam (elak diketahui anaknya) disebabkan duit tidak cukup.
“Sejak itu saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mahu menghadiahkan ibu sebuah kejayaan sebaik melangkah ke menara gading,” katanya sebak.
Cerita anak sulung itu lagi, dia mula bekerja sebagai penghantar makanan semasa memulakan kehidupan di kampus pada awal tahun 2022.
Katanya, demi kelangsungan hidup, dia nekad berusaha keras siang dan malam bagi membantu mengubah nasib dirinya dan keluarga.
“Saya tidak mahu ibu bayar apa-apa. Biarlah saya cari sendiri. Kalau letih pun, saya paksa juga. Yang penting, ibu tidak susah lagi.
“Ada hari saya makan sekali sahaja dan ada hari saya tidur cuma beberapa jam. Namun, saya akan pastikan setiap hari akan ke kelas meskipun dalam keadaan penat. Hakikatnya, itu bukan alasan untuk kita tidak boleh berjaya,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
Malah, berkat usaha yang dilakukannya, Muhammad Helmi kini berjaya membuka perniagaan kereta sewa hasil wang simpanan yang dikumpul sejak tahun pertama pengajian.
Muhammad Helmi berkata, selain bekerja sebagai penghantar makanan, dia juga mengajar di kelas tuisyen sementara menunggu keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Saya selalu pesan pada diri, kesusahan bukan untuk kita tangisi tapi untuk diperjuangkan”, tambahnya yang bercita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu.














