BUKIT KAYU HITAM – Seorang peniaga memaklumkan kos membersihkan kereta BMW 5 Series miliknya yang tenggelam sepenuhnya dalam banjir di Hatyai baru-baru ini mencecah kira-kira RM4,000, manakala kos pembaikan pula dianggarkan RM30,000.
Kata Khairie Mohd. Sallehuddin, 37, kos menunda keretanya dari Hatyai ke sebuah bengkel di Kajang, Selangor pada Jumaat lalu sudah cecah RM2,800.
“Kereta saya antara yang awal dikeluarkan sebelum ditunda ke Kajang. Saya dimaklumkan bahawa kos cuci saja RM4,000 kerana semua bahagian perlu dibuka untuk buang lumpur dan air,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, bengkel memaklumkan kos membaiki kereta berkenaan adalah sekitar RM30,000.
“Saya baru balik tengok kereta. Bengkel cakap walaupun dibaiki, ia takkan kembali 100 peratus seperti asal kerana sistem elektronik rosak, termasuk kos baiki ECU yang mahal,” jelasnya.
Ujarnya, pihak bengkel meminta dia mempertimbangkan semula sama ada mahu membaiki atau sebaliknya, namun dia mungkin membawa pulang dahulu kereta itu untuk dibersihkan sendiri bersama stafnya.
Jelas Khairie, bagi perlindungan luar negara termasuk bencana, pemilik kenderaan perlu ambil Extension 101. Kalau sudah ada perlindungan bencana di Malaysia dan tambah Extension 101, barulah dilindungi,” katanya.
Bagaimanapun, Khairie reda kerana baginya keselamatan isteri dan tiga anak berusia empat, enam dan 10 tahun lebih utama.
“Kami masuk Thai untuk cari ubat herba ayah yang menghidap kanser. Tidak sangka banjir seteruk itu,” katanya.
Sementara itu, Khairie memberitahu, kos menunda kenderaannya dari Thailand ke Malaysia sahaja mencecah RM2,810.
“Kos towing memang tinggi. Jalan banyak yang tak boleh masuk, jadi mereka kena datang dari luar kawasan.
“Untuk jarak antara Hatyai ke Dannok sahaja, saya dikenakan caj sebanyak 7,000 baht (RM910). Seterusnya, proses menarik kenderaan dari Dannok sehingga melepasi sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah menelan belanja RM400, manakala perjalanan terakhir dari Changlun terus ke bengkel di Kajang pula mencecah RM1,500,” ujarnya















