fbpx
DR. MOHD HISHAM menunjukkan peta ramalan cuaca ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya minggu lalu.

Tiada hujan lebat luar biasa minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada episod hujan lebat luar biasa atau melebihi paras purata berlaku dalam tempoh seminggu ini ke hadapan.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, susulan ramalan itu, beberapa kawasan yang kini dilanda banjir akan pulih dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, ribut petir dan hujan lebat masih lagi boleh berlaku di beberapa kawasan terutamanya di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Setakat seminggu ke hadapan tiada jangkaan cuaca buruk berlaku. Cuaca diramal baik, mungkin ada cuaca ribut petir yang kecil-kecil di beberapa kawasan terutamanya di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Tetapi keadaan cuaca itu (ribut petir kecil) tidak akan memberi ancaman banjir kepada kawasan yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, ketika ditanya bila episod hujan lebat seterus­nya akan berlaku, Mohd. Hisham berkata, setakat ini belum ada petanda menunjukkan gelombang seterusnya.

“Belum ada petanda (gelombang seterusnya) dalam masa terdekat,” katanya.

Malah beliau menambah, selain episod hujan lebat, tiada juga amaran ribut tropika dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Mohd. Hisham memberitahu, pihaknya menjangkakan lima hingga tujuh ­episod hujan lebat berterusan akan berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut bermula awal November lalu sehingga Mac depan.

Dilaporkan pada Februari depan, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami keadaan tersebut sehingga Mac 2026.

Dalam pada itu, jumlah berdasarkan laporan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga pukul 5 petang, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 16,989.

Kesemua mangsa ini di tempatkan di 214 PPS melibatkan lapan buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Perlis, Perak, Terengganu, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan portal ber­kenaan, Perak mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 5,500 melibatkan 43 buah PPS yang masih beroperasi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN