Berbakat besar sejak di bangku sekolah, gadis jelita bernama Nur Alia Natasha Azizan, 21, sebenarnya sudah lama melangkah masuk ke dunia lakonan.
Dia yang pernah berlakon dalam drama dan telemovie seperti Selamat Pengantin Haru, Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah, Jesnita, Misi Dania Cun 2 dan Cikgu Dina Pakai Prada telah menarik perhatian ramai peminat.
Bagaimanapun, di sebalik sinaran bakatnya, gadis yang mesra dipanggil Natasha itu tetap mahu memberi tumpuan dalam pelajaran apabila tekad meneruskan pengajian di universiti.
Natasha turut berkongsi perjalanan hidupnya serta impiannya mahu berlakon di Indonesia kepada Kosmo! Ahad.
Kosmo! Ahad: Kongsikan mengenai diri anda?
Natasha: Saya anak ketujuh daripada sembilan beradik. Saya lahir di Kelantan tetapi membesar di Perlis. Jadi saya tak pandai bercakap loghat Kelantan.
Permulaan Natasha sebagai pelakon?
Awalnya, saya hanya ikut rakan-rakan sekolah untuk menjadi pelakon tambahan. Namun, hanya saya terpilih selepas menjalani uji bakat. Lakonan pertama saya sebagai watak sampingan telemovie Pontianak Teng Teng ketika berumur 11 tahun.
Siapa orang pertama percaya bakat anda?
Sejujurnya, pemilik Zeel Production sendiri, Haji Zil, antara individu paling banyak beri sokongan kepada saya. Beliau pernah kecewa apabila saya buat keputusan untuk sambung pengajian ketika kerjaya lakonan saya sedang meningkat naik.
Bagaimana cara Natasha kembangkan potensi diri?
Saya berpeluang untuk mengikuti pelbagai kelas lakonan sebelum menggalas sesuatu watak, sekali gus membuka ruang untuk saya belajar.
Pengalaman pahit sepanjang hidup?
Selepas tamat sekolah menengah, saya tidak berlakon dua tahun ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19. Selepas dapat tawaran berlakon semula, saya menjadi kekok sehingga dimarahi ketika penggambaran di hadapan semua orang.
Apakah genre lakonan pilihan Natasha?
Kalau diberi pilihan, saya nak cuba lebih banyak watak antagonis dan genre seram. Walaupun ramai yang mungkin benci saya, tapi watak begitu lebih mencabar.
Siapa pelakon idaman untuk bergandingan?
Saya ingin berlakon bersama Bront Palarae kerana beliau seorang pelakon hebat. Saya mahu jadi pelakon sepertinya sejak dahulu lagi.
Cita-cita Natasha dalam dunia lakonan?
Saya harap dapat kembangkan kerjaya lakonan saya ke negara seberang. Jika berpeluang untuk menarik perhatian peminat di Indonesia, saya sanggup melakonkan watak apa-apa sekalipun.
Apakah tumpuan ketika ini?
Sekarang saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) peringkat ijazah sarjana muda dan sedang berada di semester empat. Saya juga kekal aktif sebagai kanvas solekan. Bagi saya, lakonan memerlukan komitmen jangka panjang yang saya belum mampu penuhi kerana fokus utama saya adalah menamatkan pengajian.
Ciri-ciri lelaki pilihan Natasha?
Saya perlukan lelaki yang berfikiran matang dan tidak mudah cemburu. Saya tidak mahu terikat dengan pasangan yang mengongkong kerjaya saya. Sifat memahami itu penting dalam hidup berpasangan.














