DALAM era elektrifikasi, kebanyakan syarikat automotif mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) moden dan futuristik.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia pula menampilkan kelainan dengan model retro yang comel, GWM Ora Good Cat.
Ora Good Cat versi baharu 2025 telah dilancarkan pada awal November lalu di negara ini.
Ia dibina dengan mengekalkan reputasinya sebagai hatchback elektrik gaya retro yang tampil dengan rekaan menarik, teknologi pintar dan jarak pemanduan praktikal.
Pertama kali dilancarkan di Malaysia pada tahun 2023, Ora Good Cat dikenali sebagai antara EV pertama dari China yang diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan.
Bagi tahun 2025, model ini menerima peningkatan dari segi rekaan, keselesaan dan keselamatan.
Untuk pasaran Malaysia, versi baharu Ora Good Cat hadir dalam dua varian iaitu Ultra dijual pada harga RM109,800 dan RM119,800 bagi GT.
Ora Good Cat GT menawarkan gaya sporty termasuk kit badan khas dan rim 18 inci warna hitam dengan trim berwarna kuning.
Bukan sahaja sporty, Ora Good Cat GT dikatakan lebih berprestasi, manakala Ora Good Cat Ultra menampilkan reka bentuk elegan.

Dari segi dimensi pula, Ora Good Cat GT lebih besar berbanding Ultra dengan saiz 4,254 milimeter (mm) panjang, 1,848mm lebar dengan 1,603mm tinggi tetapi jarak antara roda 2,650mm sama dengan Ultra.
Versi GT dan Ultra dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 57.7kWh dengan menghasilkan jarak gerak sehingga 460 kilometer (mengikut piawaian NEDC) untuk GT, manakala 480km bagi varian Ultra.
Dari segi prestasi pula, GT menghasilkan kuasa 171PS dan tork maksimum 250Nm, manakala Ultra 143PS dan tork maksimum 210Nm dengan kelajuan maksimum 150km/j.
Menyentuh mengenai reka bentuk kenderaan ini, Ora Good Cat GT dan Ultra mempunyai ciri-ciri dan nilai estetika tersendiri, dengan pemilihan bersesuaian penggunaan bergantung kepada karakter pengguna.
Jika anda sukakan gaya sporty dan aura kuat, GT lebih menyerlah dengan rekaan bampar depan sporty, kaliper brek kuning, spoiler belakang GT, rim aloi ekskusif trim kuning.
Imej tersebut lengkap dengan perincian tempat duduk sport GT kemasan suede dan jahitan berwarna kuning.

Reka bentuk Ultra pula sesuai dengan karakter pengguna yang comel, retro dan klasik dengan pilihan bumbung dua tona warna.
Lampu bulat ikonik Ora Good Cat menyerlahkan pesona klasik, sementara garis badan yang lembut memberi bayangan futuristik yang bersih dan tenang.
Meninjau ke dalam kabin jentera, suasana terus berubah dengan sentuhan minimalis, digital dan terasa seperti berada dalam ruang moden yang direka untuk ketenangan minda.
Hatchback elektrik ini mempunyai paparan infotainment bersaiz 10.25 inci, enam speaker dengan ketersambungan My GWM app, Apple CarPlay dan Android Auto.
Pilihan warna menarik untuk GT ialah Aqua Grey dan Sun Black, manakala Ultra warna Hazel Wood Beige, So Blue dan Pistachio Green.
Dari segi keselamatan bagi pemanduan, Ora Good Cat 2025 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 dan kamera 360 darjah.
Kesimpulannya, Ora Good Cat 2025 membuktikan bahawa sebuah kereta tidak semestinya perlu kelihatan garang untuk menjadi hebat, kadangkala yang sederhana atau comel itu paling memukau.
Inilah kereta yang bukan sahaja membawa pengguna ke destinasi, tetapi juga membawa identiti dan gaya yang tersendiri.














