DALAM tempoh beberapa tahun ini, kebangkitan jenama kenderaan elektrik (EV) dari China tidak boleh dipandang ringan.
Sebelum ini, pasaran EV dikuasai jenama automotif Tesla serta pengeluar kereta dari Eropah dan Jepun.
Namun, kehadiran Leapmotor B10 membuktikan bahawa pengeluar EV dari China kini semakin serius menghasilkan model global yang mampu bersaing secara kompetitif dengan gabungan reka bentuk moden serta teknologi pintar.
Stellantis Malaysia telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik segmen C, Leapmotor B10 itu pada akhir Disember tahun lalu.
B10 merupakan model ketiga dikeluarkan Leapmotor selepas C10 dan T03 (tidak ditawarkan di Malaysia).
Untuk pasaran Malaysia, dua varian B10 ditawarkan iaitu B10 Life dengan harga atas jalan bermula RM107,800 dengan jarak gerak 361km (mengikut WLTP) dan B10 Design pula berharga dari RM118,800 jarak gerak 434km.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji Leapmotor B10 Design selama lima hari bagi menguji prestasinya yang dikatakan menjadi sasaran pembeli yang mahukan EV pertama tanpa perlu berbelanja besar.
Namun persoalannya, adakah B10 sekadar menang pada spesifikasi di atas kertas atau benar-benar mampu memberi pengalaman pemanduan meyakinkan.
Dari segi prestasi, kedua-dua varian B10 menggunakan motor elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 215hp atau 160kW dan tork maksimum 240Nm, membolehkan ia memecut dari pegun ke 100 klometer sejam (km/j) dalam masa lapan saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai hingga 170 km/j.
Ia juga ditawarkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 56.2 kWh untuk varian B10 Life dan 67.1 kWh B10 Design.
Penulis memulakan pemanduan dari Kota Damansara ke Seremban dengan melalui jalan bandar, lebuh raya dan jalan kampung.
Bagi pemandu EV kali pertama, jarak gerak sebanyak 434km yang ditawarkan boleh dikatakan agak praktikal untuk pemanduan urban dan jarak jauh, dapat mengurangkan ‘range axienty’ tanpa perlu berhenti di stesen pengecasan secara kerap.
Ketika memandu di kawasan bandar, respons pedal kuasa B10 terasa lembut terutama dalam mod pemanduan Comfort.
Untuk pemandu yang mahukan respons lebih cepat, mod Sport memberikan karakter lebih agresif walaupun ada sedikit rasa ‘menekan’ pada pedal kuasa.
Dari segi talaan casis, B10 menawarkan tahap keselesaan yang baik ketika pemanduan di lebuh raya dengan kadar kesenyapan kabin (NVH) agak senyap serta penyerapan hentakan jalan yang memuaskan.
Bagaimanapun, bagi penulis badan SUV elektrik ini terasa sedikit membuai ketika mengambil selekoh laju dan sterengnya kurang memberikan maklum balas yang ‘tajam’ kepada pemandu.
Ini kerana B10 lebih mementingkan aspek keselesaan berbanding pemanduan sesuai dengan karakternya sebagai EV bajet atau mampu milik.
Dibangunkan di bawah platform Leap 3.5, B10 ini berukuran 4,515mm panjang, 1,873mm lebar dan 1,652mm tinggi dengan jarak roda 2,735mm dan jarak kelegaan tanah cecah 170mm.
Dari segi pengecasan, Leapmotor menyatakan bahawa B10 mengambil masa kira-kira 4.2 jam untuk mengecas bateri berkapasiti lebih kecil atau 5.6 jam bagi bateri yang lebih besar melalui pengecasan AC, pada kadar maksimum 11 kW.
Bagi pengecasan DC pula, B10 menyokong pengecasan pantas dengan kedua-duanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk pengecasan daripada 30 ke 80 peratus.
Seperti Leapmotor C10, model B10 juga menggunakan kad Near Field Communication (NFC) sebagai pengganti kunci fizikal tradisional.
Pengguna hanya perlu tap kad NFC pada cermin sisi kereta dan kemudian meletakkan kad tersebut di konsol tengah sebelum gear diaktifkan untuk kenderaan bergerak.
Dari sudut reka bentuk, B10 tampil dengan identiti moden minimalis dengan bahagian hadapan menggunakan lampu LED nipis bersama rekaan tanpa gril yang memberi imej futuristik.
Profil sisi pula menampilkan garis badan ringkas tetapi kemas, manakala penggunaan rim bersaiz besar 18 inci menyerlahkan imej SUV urban premium B10.
Meninjau ke ruangan kabin, sentuhan minimalis dikekalkan dengan kabin berwarna krim dilengkapi skrin infotainment 14.6 inci disokong oleh paparan digital 8.8 inci.
Material tempat duduk pula menggunakan tekstil silikon dengan pensijilan OEKO-Tex yang bukan sahaja selesa tetapi selamat untuk kesihatan.
Sisi premium SUV premium ini turut menyerlah dengan kehadiran bumbung panoramik yang menambah gaya.
Untuk aspek keselamatan, B10 diberikan kelengkapan Sistem Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2, dengan 12 penderia ultrasonik yang menawarkan 17 fungsi bantuan pemanduan.
Ini termasuk kawalan keluncuran adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan trafik, amaran perlanggaran hadapan, amaran perlanggaran belakang, amaran membuka pintu, kepekaan trafik belakang, pemantauan titik buta, AEB, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan kekal lorong kecemasan.
Ciri keselamatan lain termasuk tujuh beg udara, kamera 360 darjah dan penderia parkir belakang.
Kesimpulannya, Leapmotor B10 menawarkan pakej lengkap untuk pengguna terutama keluarga moden yang mengutamakan teknologi, keselesaan dan keselamatan.
B10 kini muncul sebagai antara SUV elektrik paling menarik dalam kategori mampu milik terutama bagi pengguna yang mahu beralih ke dunia EV tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi.















