fbpx
Suasana di atas sangkar ikan, umpan akan dihulur di celah-celah sangkar dan papan laluan pejalan kaki.

Kaedah memancing di atas sangkar ikan Pulau Jerejak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA berkesempatan berkunjung dan memancing di salah satu sangkar ikan yang terletak berhampiran Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Kawasan selat yang terlindung ini amat sesuai untuk dibina sangkar ikan terapung.

Kami bertiga bertolak petang dari Jeti Sungai Gelugor yang terletak bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang, dan mengambil masa 20 minit untuk sampai ke sangkar ikan tersebut.

Kami merancang untuk meman­cing semalaman sahaja, dan keesokan paginya kami akan balik semula ke Pulau Pinang.

Ketika trip ini, baru tiga hari selepas air besar, jadi keadaan arus agak laju.

Perairan di sini juga cetek, anggaran lebih kurang tiga hingga lima meter ketika air surut, dan lapan ke 10 meter ketika air pasang penuh.

‘Undang-undang’ yang sedia maklum bagi setiap pengunjung adalah larangan ‘menangguk di air keruh’ iaitu memancing ikan-ikan di dalam sangkar ternakan.

Sebaliknya, pengunjung hanya boleh memancing di luar dari kawasan sangkar atau di celah-celah sangkar di antara laluan papan kayu pejalan kaki.

Kaedah berlainan

Saya ada juga membawa set untuk pancing dasar dan sahabat saya pula guna set mengilat dan jigging.

Bukan calang-calang hendak menaikkan siakap putih sekasar ini dari sudut sempit.

Petang itu, sebaik sampai, rakan saya bergegas dengan gewang dan jig untuk mencuba di sekitar sangkar.

Walaupun ada kelihatan aktiviti ikan menangkap anak-anak ikan, namun gewang dan jig yang dihulurkannya langsung tidak bersambut sampailah hari gelap.

Mungkin ikan-ikan pemangsa sekitar sangkar ini lebih tertarik dengan makanan semula jadi, bukannya umpan tipu.

Malam itu, saya melabuhkan umpan ikan bilis, udang dan hirisan kembung, namun hanya ikan duri yang kuat mengacau.

Menurut pengunjung yang selalu ke sangkar ini, umpan sepatutnya diangkat separuh air bukannya direndam rapat ke dasar.

Hal ini kerana kumpulan ikan duri akan membedal umpan terlebih dahulu, sebelum ikan sasaran.

Ikan-ikan spesies baik biasanya berlegar di antara perimeter permukaan dan tengah air bagi menunggu makanan yang terkeluar dari sangkar.

Tambah pengunjung itu, tarikh terbaik untuk memancing di atas sangkar ikan adalah ketika air mati dan semasa pengusaha sangkar memberi makanan kepada ikan-ikannya.

Ketika air mati, lebih banyak masa dapat memancing kerana perubahan arus yang tidak ketara. Apabila ikan diberi makan, ikan-ikan yang berada di luar sangkar akan turut menghimpit rapat ke sangkar untuk ‘mencuri’ lebihan makanan hanyut.

Koyan yang berkuasa

Disebabkan itulah peralatan terbaik untuk digunakan di atas sangkar ikan ini bukanlah set pancing konvensional seperti joran dan kekili.

Pemancing akan ‘kalah’ dalam pertarungan jika menggunakannya kerana sebentar sahaja ikan boleh memutuskan tali dengan membenam ke arah struktur berteritip.

Koleksi koyan-koyan yang digunakan oleh salah seorang pengunjung tetap sangkar ikan.

Solusinya, pemancing regular akan menggunakan koyan atau sesetengah tempat memanggilnya ‘ambuh’ (handline) dengan kekuatan tali mono sekasar antara 100 hingga 200 paun (lb).

Mengikut kekuatan arus ketika sesi pancingan, satu atau dua biji batu ladung hidup bentuk buah kana saiz antara 8 hingga 10 akan dimasukkan ke tali mono tersebut sebagai pemberat dan hujungnya dimatikan dengan satu swivel atau clip.

Perambut wayar berkekuatan 80 hingga 100lb panjang sekaki akan dipasang di hujung swivel itu dan satu mata kail saiz antara 5/0 hingga 8/0 akan diikat di hujungnya.
Kedengaran seperti ‘kiasu’ (melampau), tetapi itulah sahaja cara ‘kuat lawan kuat’ untuk menaikkan hasil tangkapan di kawasan struktur berteritip tajam.

Menajur

Sejak 30 tahun dahulu, saya juga memancing dengan cara yang sedikit lebih kurang sama, cuma dahulu saya memancing di sangkar-sangkar ikan sekitar Pulau Ketam, Selangor dan koyan dipegang untuk merasa rembatan ikan.

Di sangkar ikan Pulau Jerejak ini pula, pengunjung akan membawa beberapa set koyan, dan ia akan dipasang sekitar sangkar di sudut-sudut yang berpotensi seolah-olah ‘menajur’.

Sebagai insurans, koyan akan ditambat menggunakan ‘getah pengikat barang motosikal’ yang akan bertindak sebagai tali anjalan.

Ini bagi memastikan tali mono yang kasar tidak putus dan dipasang loceng penggera untuk memberitahu pemilik, koyan mana satu sudah kena ikan.

Umpan pula pelbagai, sama ada mahu menggunakan udang, hirisan ikan kembung atau bilis, namun yang paling popular adalah ikan baja iaitu pelbagai ikan-ikan kecil yang dijadikan makanan ikan sangkar.

Biasanya, ia tersedia di dalam tong-tong biru, cuma ikan baja ini biasanya sudah membusuk sedikit.

Menggunakan kaedah pancingan koyan ini, saya berjaya mendapatkan seekor ikan siakap merah dan seekor gerepoh.

Banyak yang lain, tapi langsung tidak dapat saya tangani kerana kepantasan ikan menyelinap ke struktur sangkar berupa tali tambat sangkar, jaring ikan ternakan serta pelampung platform sangkar dipenuhi teritip.

Pada saya, pancingan di atas sangkar ikan ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Hanya ‘jauhari betul-betul mengenal manikamnya’, barulah pemancing memahami kondisi pan­cingan kiasu’ sebegini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN