KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat sindiket yang kegiatannya yang sudah lama diketahui, tetapi tiada keberanian untuk diambil tindakan oleh kerajaan terdahulu.
Menurut beliau, situasi itu disebabkan kartel, sindiket penyeludupan dan scammer yang dikenal pasti beroperasi puluhan tahun terbabit terlalu kuat serta didalangi individu berpengaruh dan memiliki dana yang besar.
“Tidak mudah bertempur dengan syarikat besar dan kartel berpengaruh. Ia memerlukan dukungan dan tekad politik yang tegas. Sebab itu kini kita dapat elakkan ketirisan, rasuah dan penyeludupan.
” RM15.5 bilion (rampasan dan kutipan penalti) menunjukkan terlalu banyak . Ada yang beroperasi 20 tahun dibiarkan. Saya tanya kenapa (kerajaan terdahulu) tak boleh buat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperoleh agensi penguat kuasa.
Anwar berkata, rampasan diperoleh Kerajaan Madani bukan satu angka kecil dan ia membuktikan tekad untuk memerangi habis-habisan rasuah, sindiket dan penyeludupan yang telah lama berleluasa.
Ujar beliau, kegiatan haram tersebut diizinkan berlaku selama berpuluh tahun dan kini Kerajaan Madani mengambil tindakan tegas melalui agensi penguatkuasaan yang berani yang harus diberi pengiktirafan.
“Kalau jarum yang diseludup, ya susah sedikit (hendak dikesan). Ini kontena diseludup keluar masuk. Sebab itu saya minta semua agensi penguatkuasaan tidak bekerja secara silo.
“Ambil tindakan tegas tanpa mengira pengaruh dan kedudukan sama ada kartel besar termasuk scammer yang beroperasi puluhan tahun, tapi tak berani diambil tindakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














