MINAT terhadap kelajuan bukan sesuatu yang lahir sekelip mata dalam diri Ahmad Zikri Mohamad Khidhir, sebaliknya segalanya bermula sejak berusia 12 tahun.
Zikri atau mesra disapa sebagai Coach Zik mula mengenali dunia perlumbaan melalui permainan video seperti Need For Speed yang berlanjutan kepada minatnya terhadap sukan permotoran go-kart dan MotoGP.
Mengidolakan legenda sukan Mick Doohan dan Max Biaggi yang popular era 1990-an, kemuncak minatnya itu semakin kukuh apabila Malaysia menganjurkan Formula Satu (F1) yang membuatkan cintanya terhadap dunia permotoran membara.
“Bagaimanapun pendedahan terhadap aktiviti sukan permotoran itu tiada sewaktu saya di alam persekolahan. Peluang tersebut hanya muncul apabila saya menyertai pertandingan perlumbaan go-kart yang dianjurkan syarikat tempat saya bekerja ketika itu.
“Minat saya terhadap go-kart terus berkembang sehingga saya menjadi semakin berani serta meningkatkan kemahiran pemanduan,” kongsi Coach Zik, 39, kepada CitaRasa.

Lebih sedekad melibatkan diri dengan aktiviti go-kart, Coach Zik sudah mencuba pelbagai litar di Lembah Klang seperti City Karting Shah Alam, Pinnacle Kart USJ, Horizon Beranang Circuit dan Sepang International Kart Circuit.
Begitu juga dengan barisan litar dalam bangunan (indoor) yang terdiri daripada Sunway XPar, Formula Karting dan Evolt Karting Sungai Buloh.
Baginya, setiap trek mempunyai karakter dan pengalaman berbeza sekali gus mencipta cabaran unik yang sentiasa mendorong dirinya untuk terus memperbaiki prestasi.
“Bukan sekadar keseronokan semata-mata, tetapi aktiviti go-kart mengajar saya untuk mengawal diri, fokus, refleks dan strategi.
“Kawalan disiplin yang tinggi juga penting agar dapat membantu untuk kekal fokus dan tidak panik. Kombinasi elemen fizikal dan mental menjadikan go-kart bukan sekadar sukan mencabar, tetapi menawarkan pengalaman yang sukar ditandingi,” ujarnya.

Sensasi kelajuan di atas trek terus membuatkan Coach Zik teruja untuk mempersiap diri dengan skil serta teknik pemanduan yang lebih baik.
Bukan sahaja kemahiran mengendalikan jentera, kekuatan mental juga perlu dijaga agar terus kekal tenang berdepan dengan segala kemungkinan di litar.
“Paling seronok bila kita tekan minyak sehingga maksimum (flat out), kita dapat rasa sensasi kelajuan yang tidak dapat terbayang dan membuatkan kita lupa segala masalah di luar trek.
“Fokus kita hanya pada pemanduan, mengendalikan kart dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki catatan masa agar menjadi semakin pantas,” katanya.
Kini bukan sahaja bergelar pelumba, dia turut bergelar jurulatih go-kart di Horizon Beranang Circuit yang melatih peserta seawal usia 12 tahun.
Berkongsi pengalaman di akaun TikTok bernama @Zik_Reitaka, Coach Zik menjadikan platform digital itu sebagai medium dalam mendidik dan mempromosikan sukan go-kart kepada khalayak.














