BUAT julung kalinya, Pertubuhan Doktor-Doktor Khatan Malaysia (MADOCS) telah menganjurkan Program Berkhatan Beramai-ramai di Dewan Arena Masyarakat Semporna, Sabah baru-baru ini.
Program selama sehari itu berjaya memberi manfaat langsung kepada 150 kanak-kanak kurang berkemampuan di daerah itu dan sekitarnya untuk berkhatan secara selamat.
Menurut pengarah program berkenaan, Dr. Wan Noorasmara Mohd. Noor, tujuan utama acara khatan beramai-ramai itu diadakan adalah untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menanggung kos khatan di klinik dan hospital swasta.
Katanya, pada program itu, kanak-kanak berpeluang mendapat prosedur khatan yang dilakukan oleh doktor-doktor terlatih dan berdaftar di bawah pengawasan ketat oleh Jurulatih Khatan Bertauliah.
Dia menambah, langkah itu bagi memastikan setiap prosedur dilaksanakan mengikut piawaian klinikal dan keselamatan tertinggi sama seperti perkhidmatan yang diterima di mana-mana klinik serta hospital swasta terkemuka di bandar.
“Menyedari bahawa Semporna adalah antara kawasan yang mempunyai kadar kemiskinan yang signifikan, MADOCS bersama Semporna Prihatin telah bersatu untuk memastikan status sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada akses perkhidmatan kesihatan asas yang penting ini.
“Program CSR (khidmat masyarakat) ini turut merangkumi pemberian ubatan dan khidmat nasihat kesihatan pasca khatan kepada ibu bapa bagi memastikan penjagaan luka kanak-kanak dilakukan dengan betul serta risiko komplikasi diminimumkan.
“Selain itu, MADOCS turut menyumbangkan wang tunai antara RM15 hingga RM30 kepada setiap kanak-kanak yang terlibat dalam program ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Program berkenaan turut dijayakan oleh 77 orang petugas yang terdiri daripada 20 orang jurulatih dalam kalangan pakar pembedahan pelbagai bidang, pegawai perubatan dan pembantu perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sektor swasta.
Selain itu, program tersebut turut melibatkan 20 orang kakitangan kejururawatan, 25 orang kakitangan sokongan, selain 12 orang sukarelawan Semporna Prihatin bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Sementara itu, Pengerusi Semporna Prihatin, Hassan Urus meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada MADOCS kerana berjaya menganjurkan satu program yang cukup bermanfaat kepada komuniti tempatan.
“Semporna Prihatin adalah sebuah badan bukan kerajaan yang aktif berkhidmat di Sabah. Kami sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai program kebajikan termasuk program khatan untuk kanak-kanak.
“Apabila MADOCS menghubungi kami untuk program ini, kami tidak teragak-agak untuk bekerjasama. Peranan kami adalah untuk memastikan kerja-kerja di lapangan berjalan lancar, daripada pengurusan logistik, penyelarasan komuniti, pendaftaran hinggalah kepada penyediaan kemudahan tempat,” ujarnya.
Tambah menarik, program tersebut turut mendapat kerjasama Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan serta Technical
Working Group Berkhatan Kebangsaan, KKM yang menganjurkan Kursus Privileging Berkhatan (Dorsal Slit) Bahagian Dua Siri Keempat (PCC 2-4).
Dalam kursus kali ini, seramai 32 orang doktor telah menjalani penilaian di bawah penyeliaan 20 orang jurulatih yang terdiri daripada pakar bedah kanak-kanak, pakar urologi, pakar bedah am, pegawai perubatan dan pembantu perubatan bertauliah.
PCC 2-4 merangkumi penilaian buku log, pemerhatian prosedur berstruktur serta penilaian prestasi klinikal semasa menjalankan prosedur berkhatan.
Hanya peserta yang memenuhi tahap kompetensi ditetapkan akan diperakukan untuk menerima Sijil Privileging Berkhatan (Dorsal Slit).
Pendekatan penilaian menyeluruh itu bagi memastikan hanya pengamal yang benar-benar kompeten dan memenuhi standard keselamatan ditetapkan diberikan pengiktirafan untuk menjalankan prosedur berkhatan.
Presiden MADOCS, Dr. Abdol Rashid Masrom berkata, objektif utama program PCC 2-4 di Semporna bertujuan memastikan setiap jurukhatan terutamanya yang baru menjalankan prosedur khatan melalui proses privileging sistematik dan telus.
Ujarnya, pelaksanaan PCC 2-4 di Semporna merupakan satu pencapaian penting kerana ia memperluaskan akses kepada penilaian kompetensi dan pensijilan privileging berkhatan kepada doktor-doktor swasta di Sabah, sekali gus menyokong usaha meningkatkan keselamatan dan kualiti amalan itu.
“KKM telah mengenal pasti bahawa sebahagian besar kes komplikasi berkhatan termasuk aduan pesakit berpunca daripada ketidakselarasan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan jurukhatan di negara ini.
“Senario ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Justeru, kursus privileging berkhatan ini telah dirancang bermula tahun 2024.
“Kini, ia sedang dilaksanakan bagi memastikan bahawa setiap jurukhatan yang ingin menjalankan prosedur khatan pada masa hadapan mesti terlebih dahulu membuktikan kompetensi mereka melalui proses pensijilan teliti,” ujarnya sebelum menamatkan bicara.














