fbpx
Ropiah (kanan) menunjukkan baki rantai emas yang tercicir dalam kejadian rompakan di Kampung Mampung, Rembau semalam.

Sekali rentap rugi RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang wanita war­ga emas trauma selepas pe­rompak memegang leher dan menyentap rantai emas yang dipakainya sebelum melarikan diri dalam kejadian rompakan di Kampung Mampung, di sini kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Mangsa, Ropiah Alias, 80, berkata, ketika kejadian dia dan suami, Sahak Zakaria, 82, sedang tidur sebelum terjaga di­sebabkan terdengar bunyi bi­sing dari arah belakang rumah seolah-olah dirempuh sesuatu.

Katanya, dia dan suami kemudian menuju ke dapur untuk melihat apa yang berlaku tanpa membuka lampu kerana bimbang kehadiran mereka di­sedari jika ada orang masuk ke dalam rumah, apabila tiba di dapur, seseorang memegangnya dan berlaku sedikit pergelutan.

“Perompak kemudian memegang leher dan merentap rantai emas yang saya pakai sejak 2002 sebelum meminta kunci untuk keluar melalui pintu depan.

“Dalam keadaan kelam-ka­but itu, sebahagian rantai yang dilarikan tercicir. Dia terus merempuh pintu depan dan melarikan diri bersama seorang rakan yang me­nunggu dalam sebuah kende­raan. Saya kerugian RM5,000,” katanya di sini semalam.

Katanya, perompak masuk ke rumah melalui tingkap kecil di bilik air di belakang rumah. Dalam pada itu, anak ke­dua mangsa, Anizah Ishak, 57, berkata, kedua-dua ibu bapa­nya itu menetap di situ sejak lima tahun lalu dan kejadian itu pertama kali berlaku.

Menurutnya, suspek dikatakan mengambil kerusi di hadapan rumah dan menggunakannya untuk memanjat masuk melalui tingkap kecil di tandas.

“Mujur semasa kejadian perompak tidak mengacukan senjata ke arah ibu saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN