AQUA CHALLENGE merupakan tarikan interaktif terbaharu di A’Famosa Water World, Melaka. Tarikan itu sesuai buat pengunjung yang mencari cabaran fizikal dan keseronokan berpasukan.
Aktiviti itu menampilkan pelbagai halangan seperti larian air, mendaki, lompatan dan ujian keseimbangan yang direka untuk menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara peserta.
Lokasi tersebut amat sesuai untuk acara seperti hari sukan syarikat atau aktiviti pembangunan pasukan.
Menurut Pengurus Besar A’Famosa Water World, Choo May Gie, pengunjung yang ingin menyertai Aqua Challenge perlu membuat tempahan awal.
“Tidak seperti dahulu, Aqua Challenge kini tiada lagi had minimum untuk disertai dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Namun terdapat had ketinggian yang perlu dilepasi kerana kebanyakan aktiviti memerlukan keseimbangan badan, kekuatan fizikal dan kemampuan untuk melakukan lompatan atau mendaki dengan selamat,” katanya kepada CitaRasa.
Selain menyertai Aqua Challenge sebagai aktiviti berkumpulan, pengunjung boleh mencuba pelbagai tarikan lain yang tidak kurang menariknya.

Antaranya, Big Ice Cream yang menawarkan sensasi seolah-olah berada dalam putaran ais krim gergasi, manakala Wahaha menampilkan alunan ombak bagi menguji keberanian pengunjung.
Bagi pencari adrenalin, High Speed Slide merupakan gelongsor setinggi tujuh tingkat yang memberikan pengalaman meluncur yang laju dan mendebarkan.
Aktiviti itu memberikan kombinasi sempurna antara keseronokan dan cabaran fizikal bagi golongan remaja serta dewasa.
Bagi kanak-kanak, taman tema itu menyediakan zon khas seperti Kids Adventure, Arabian Kids Pool dan Family Raft.
Semua zon tersebut direka dengan pengawasan ketat untuk memastikan keselamatan maksimum bagi membolehkan kanak-kanak berseronok sepenuhnya.
Sementara itu, golongan remaja dan dewasa yang gemarkan cabaran boleh menikmati aktiviti seperti Hula-Hula Slide, Inner Tube Slide dan Wave Pool.

Taman tema itu juga menyediakan lokasi bergambar popular termasuk Wave Pool yang menyerupai pantai sebenar dan tapak bertema berubah mengikut musim atau perayaan.
Lokasi tersebut menjadi tumpuan pengunjung yang ingin merakam detik-detik menarik untuk dikongsi dalam media sosial.
Dari segi kemudahan, A’Famosa Water World menyediakan loker penyimpanan, bilik persalinan, ruang menukar lampin bayi, paramedik dan bilik rawatan serta surau.
Menariknya, pelampung kini termasuk dalam harga tiket masuk.
Sementara itu, pengunjung diwajibkan memakai pakaian renang penuh, baju jersi dan seluar tanpa zip, manakala bayi diwajibkan memakai lampin pakai buang renang.
Tambah May Gie, hujung minggu menjadi masa paling meriah di taman tema itu dengan aktiviti sukaneka dan karaoke santai percuma untuk pelawat.
“Taman tema ini menawarkan pakej istimewa untuk kumpulan 20 orang ke atas. Kami juga mengadakan taklimat keselamatan khas sebelum aktiviti bermula.
“Pakej ini membolehkan sekolah atau organisasi mengatur lawatan yang menyeronokkan tetapi selamat untuk semua peserta,” katanya.














