IPOH – Penduduk di sekitar Desa Tambun, Jalan Ampang di sini mendakwa terpaksa hidup dalam keadaan sengsara apabila setiap hari menghirup debu berpunca operasi kilang memproses pasir.
Selain itu, mereka yang duduk berdekatan juga berkata terpaksa berhadapan bunyi bising daripada kilang tersebut.
Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tambun, Sukor Mat berkata, anggaran lebih 1,000 penduduk di beberapa kawasan perumahan yang berhampiran terpaksa berdepan situasi itu.
“Kami tidak tahu adakah debu atau habuk ini membahayakan kesihatan atau tidak. Setakat ini yang diketahui sudah ada tiga aduan yang dikemukakan kepada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa kehadiran ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad ke kilang tersebut di sini semalam.
Wakil rakyat tersebut juga berkesempatan bertemu dan bercakap dengan pihak syarikat kilang bagi meminta segala dokumen kelulusan operasi.
Hasil pertemuan tersebut, wakil syarikat tersebut difahamkan bersetuju mengadakan pertemuan seterusnya pada minggu hadapan bagi melampirkan segala dokumen dan berkenaan aduan penduduk.
Muhamad Arafat berkata, kehadirannya bersama Majlis Bandaraya Ipoh serta Jabatan Alam Sekitar negeri adalah kerana aduan yang dibuat oleh penduduk yang mendakwa kurang selesa terhadap operasi kilang tersebut.
“Hasil perjumpaan hari ini, masih ada beberapa perkara yang kami mahu penjelasan lanjut daripada pihak kilang. Pertemuan seterusnya dijadualkan pada minggu depan,” katanya.














