fbpx
Pemenang-pemenang bagi pertandingan kali ini.

Kemeriahan Pertandingan Memancing Cabaran Sungai Kinta 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pertandingan Memancing Cabaran Sungai Kinta 2025 telah dianjurkan oleh pihak Masjid Toh Puan Besar Hatijah. Pertandingan itu merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan ikatan ukhuwah dan silaturrahim antara kariah serta masyarakat di sekitar Batu Gajah, Perak.

Acara ini telah diadakan pada 5 Oktober lalu dan tempat dipilih adalah kawasan sekitar jambatan Kampung Pisang kerana lokasinya
yang hampir dengan masjid serta keadaan tebing sungai selesa kepada peserta.

Dua kategori telah dipertanding­kan iaitu ‘Kategori Pemancing’, pemenang akan dinilai melalui tangkapan ikan terberat dan ‘Kategori Ikan Asing’ dengan berat keseluruhan ikan pendatang yang didaratkan sebagai pemenang pertama.

Kategori Ikan Asing hanya melibatkan lima spesies ikan
pendatang iaitu ikan bandaraya, baung ekor merah, Amazon catfish, patin Chao Phraya dan peacock bass.

Seramai 150 orang peserta telah mengambil bahagian dalam acara ini yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Acara itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Perikanan Negeri Perak, Majlis Daerah Batu Gajah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kinta serta Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kinta, Perak.

Peserta mula hadir seawal pukul 7 pagi untuk pendaftaran dan mengambil tag yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Pelepasan peserta, perasmian dan majlis penutup acara telah di­sempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Batu Gajah, Ahmad Tarmizi Musa.

Lokasi pertandingan di jambatan Kampung Pisang.

Pertandingan bermula
Kesemua peserta mula meman­cing sekitar pukul 8 pagi. Tidak lama selepas itu, peserta pertama telah menaikkan ikan tilapia dan memenangi kategori khas iaitu ikan pertama dinaikkan.

Walaupun paras air Sungai Kinta agak tinggi serta sedikit keruh akibat hujan yang turun, namun peserta tetap bersilih ganti menghantar hasil tangkapan seperti ikan keli afrika, baung, lampam dan sebagainya,

Pertandingan itu telah ditamatkan secara rasminya pada pukul 12.30 tengah hari, sebelum diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada semua pemenang.

Kebanyakan hasil yang dinaikkan adalah ikan pendatang seperti keli Afrika, tilapia, lampam jawa, baung ekor merah dan sebagainya.

Penganjuran pertan­dingan seperti itu di perairan umum adalah langkah baik untuk mengurangkan populasi ikan asing dan memberikan kesedaran kepada masyarakat bagi menjaga ekosistem Sungai Kinta.

Muhammad Iman Shakirin menjadi juara ‘Kategori Pemancing’ dengan tangkapan ikan keli Afrika seberat 1.864 kilogram (kg) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Manakala, ‘Kategori Ikan Asing’ pula dimenangi oleh Yusazli Yusof dengan jumlah berat ikan bandaraya yang terkumpul sebanyak 5.4kg, dia memenangi hadiah berjumlah RM500.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN