fbpx
PENGEMBARAAN ke rantau Balkan dan Eropah Timur selama 35 hari membuka lembaran penuh emosi, serta memberi pengajaran hidup yang tidak ternilai buat penulis.

Kembara 35 hari menelusuri keindahan Balkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, melancong ke luar negara sekadar untuk bersantai dan menikmati pemandangan baharu. Namun bagi saya, pengembaraan ke rantau Balkan dan Eropah Timur selama 35 hari membuka lembaran penuh emosi, serta memberi pengajaran hidup yang tidak ternilai. 

Melalui perjalanan darat atau road trip merentasi lebih 14 buah negara, saya bukan sahaja menikmati keindahan alam, malah merasai cabaran sebenar menjadi pemandu solo di bumi asing yang penuh kejutan.

Kembara saya bermula di Istanbul, Turkiye, sebelum menaiki bas ke Bulgaria untuk memulakan perjalanan dengan kereta jenis MPV (kenderaan pelbagai guna) yang dilengkapi tayar khas untuk ais. 

Saya memandu melintasi Utara Macedonia, Kosovo, Albania, Montenegro, Croatia, Bosnia, Slovenia, Austria, Slovakia, Republik Czech, Hungary, Romania, Bulgaria dan kembali semula ke Turkiye. 

Setiap negara menawarkan pengalaman berbeza, pemandangan menakjubkan, budaya yang unik dan nilai sejarah mendalam.

Keindahan negara-negara Balkan memang tidak dapat dinafikan apabila air sungai yang jernih berwarna kebiruan dan kehijauan, tanda betapa tegas masyarakat mereka menjaga alam sekitar. 

Boleh dikatakan, hampir setiap hari saya menangis ketika memandu kerana terlalu kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan.

PENULIS bergambar di salah satu kawasan di Croatia.

Namun, perjalanan itu tidak mudah kerana saya perlu melalui laluan yang dipenuhi dengan ais, satu fenomena asing di tanah air kita. 

Detik cemas yang tidak dapat dilupakan adalah ketika memandu dari Skhoder ke Taman Negara Valbone di Albania.

Saya perlu memandu sejauh 185 kilometer (km) di atas jalan dipenuhi ais, berkabus tebal dan hanya mampu memandu 30 km/jam.

Hampir tergelincir ke gaung, namun mujur kereta yang digunakan dilengkapi tayar khas untuk ais, dan itu menyelamatkan saya.

Selain menikmati pemandangan, saya juga tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai aktiviti lasak seperti hiking, via ferrata, luncur ais dan meluncur ais (snowboarding) iaitu satu pengalaman luar biasa serta mencabar. 

Di negara yang sarat dengan sejarah perang seperti Bosnia pula, saya banyak meluangkan masa di muzium dan tapak bersejarah untuk memahami kisah perjuangan rakyatnya.

PEMANDANGAN indah salah satu kawasan penempatan di Turkiye.

Sepanjang 35 hari di jalan raya, pengembaraan ke negara Balkan meninggalkan kesan mendalam apabila saya berpeluang belajar untuk lebih sabar, berdisiplin dan sentiasa bersyukur. 

Walau sejauh mana kita pergi, namun akhirnya kita akan sedar betapa bertuahnya dilahirkan di Malaysia.

Kalau bercakap tentang persediaan, saya menekankan kepentingan memahami musim, pakaian sesuai, ubat-ubatan serta memiliki mata wang tempatan sebelum berangkat. Begitu juga dengan itinerari lengkap, hotel dan semakan visa juga amat penting supaya perjalanan lancar.

Pengajaran paling bermakna adalah sewaktu saya berada di kawasan bersuhu -32 darjah Celsius, namun pakaian yang dibawa tidak cukup menahan kesejukan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN