PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkongsi perkembangan terbaharu status pembebasan sembilan aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel sejak 8 Oktober pada sesi pembentangan Belanjawan 2026, petang ini.
Menurutnya, beliau dijangka akan menerima panggilan daripada wakil kerajaan Turkiye berhubung status terbaharu mengenai aktivis itu petang ini (sebelum pembentangan belanjawan).
“Dia (mereka) janji akan hubungi saya pukul 3.30 petang ini, jadi saya umum (status terbaharu) dalam belanjawan (Belanjawan 2026),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11, di sini hari ini.
Difahamkan, ketika ini, kerajaan sedang giat berusaha mendapatkan pembebasan segera dan tanpa syarat sembilan warganegara Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Israel sejak 8 Oktober lalu.
Kesemua mereka merupakan peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan ke wilayah Gaza.
Sebuah pesawat membawa aktivis Freedom Flotilla Coalition dari 22 negara dijangka tiba di Istanbul, Türkiye, hari ini berkemungkinan turut membawa sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel. – KOSMO! ONLINE














