GUA MUSANG – Penduduk di Kampung Batu 2 di sini, terpaksa bersembunyi untuk menyelamatkan diri termasuk ada yang berlindung di bawah meja susulan kejadian ribut dan hujan batu selama 10 minit yang turut menyebabkan atap rumah dan pelbagai barangan diterbangkan angin.
Kejadian kira-kira pukul 4.45 petang kelmarin itu berlaku ketika kebanyakan penduduk sedang berada di rumah sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi ribut kuat disusuli hujan lebat.
Rohida Che Kob, 54, yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah asrama sekolah berkata, bunyi ribut itu sangat menakutkan ditambah lagi keadaan kelam-kabut akibat hujan batu.
“Sewaktu kejadian, suami tiada di rumah dan saya sangat takut dengan bunyi ribut yang kuat. Saya hanya mampu berlindung di bawah meja sebelum melihat atap zink terangkat sekeping demi sekeping akibat diterbangkan ribut,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 2 di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Norjannatun Shuhada Hanusi, 34, berkata, dia bersama lapan ahli keluarganya termasuk nenek dan anak saudara berusia enam bulan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
Bagaimanapun, katanya, hampir keseluruhan atap rumah mengalami kerosakan akibat diterbangkan angin kencang.
“Kami menyedari ribut sudah merosakkan bahagian garaj kereta di depan rumah sebelum ke bahagian ruang tamu dan bilik.
“Rumah kami bergegar akibat dipukul ribut. Anak saudara saya berusia dua tahun trauma apabila dia menyaksikan bumbung rumah tercabut diterbangkan ribut. Mereka hanya mampu berteriak dan berpelukan antara satu sama lain,” katanya.
Tambah Norjannatun Shuhada, neneknya berusia hampir 100 tahun yang berada di dalam tandas pula hanya mampu melaungkan azan ketika kejadian berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Rahimah Mat Ali, 72, berkata, penduduk Kampung Batu 2 menyifatkan kejadian ribut itu adalah yang terburuk sejak mereka tinggal di kawasan itu lebih 40 tahun lalu.
Katanya, selain bahagian atap rumah, penduduk juga menanggung kerugian apabila barangan seperti peralatan elektrik dan perabot rosak akibat bencana alam tersebut.














