fbpx
Sebahagian daripada bot-bot peserta berkumpul sebelum pelepasan pada hari pertama RPBIC 25 (kiri). Ikan layaran yang dinaikkan oleh Team Lemax Pro (kanan).

Layaran ‘buruan’ Royal Pahang Billfish International Challenge 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada 13 dan 14 September lalu, satu pertandingan memancing berprestij, Royal Pahang Billfish International Challenge 2025 (RPBIC 25) telah berlangsung dengan jayanya di Kuala Rompin, Pahang.

Majlis pelepasan peserta RPBIC 25 telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain sambil diiringi oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Jumshoiry Novdany Mohd. Sulaiman.

Sebanyak 16 pasukan telah menyertai acara pada tahun ini melibatkan peserta dari Malaysia, Singapura, Jepun, Itali, China, Sepanyol, United Kingdom dan Australia. Bot-bot peserta telah berlepas dari Jeti Awam Pantai Bernas.

Hadiah keseluruhan berjumlah RM76,000 ditawarkan kepada para pemenang yang berjaya menempatkan nama di podium.

Terima kasih kepada penaja-penaja RPBIC 25 iaitu TCE Tackles, X-Zoga, Lemax, Gawas, EUPRO International, Expert Graphite dan DPM Studios

Sekalung penghargaan juga kepada rakan strategik RPBIC 25, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Pahang, Majlis Daerah Rompin, Pejabat Daerah & Tanah Rompin, Bomba Rompin, Polis Marin Pahang, Villea Golf & Resort Rompin dan Persatuan Memancing & Bot Kuala Rompin Pahang.

Perjalanan acara

Acara yang telah berlangsung selama dua hari ini menyaksikan bot-bot peserta memulakan perjalanan sebaik siren pelepasan dibunyikan pada pagi hari pertama pertandingan. Setiap bot menempatkan empat orang peserta untuk satu pasukan beserta marshal, tekong dan pembantu.

Seperti apa yang dilakukan pada kejohanan-kejohanan yang lalu, unjam-unjam berhampiran akan ditujui oleh bot-bot ini bagi mencari umpan hidup berupa ikan tamban, selar, selayang, kembung dan pelbagai lagi untuk memancing ikan layaran.

Denis daripada Team Xzoga bersama salah seekor daripada lima ikan layaran yang ditangkap kumpulan itu.

Selepas bekalan umpan hidup ini mencukupi, bot-bot akan me­mulakan perjalanan ke lokasi-lokasi yang diketahui ikan layaran berada.

Kehadiran gerombolan ikan layaran ini mudah diketahui dengan kehadiran kumpulan burung-burung laut yang berlegar mengekori kawanan ikan-ikan kecil seperti ikan bilis dan lain-lain.

Bot peserta akan tertumpu di kawasan burung-burung ini berlegar kerana di sekitarnya ada kumpulan ikan layaran yang turut mencari makanan.

Peraturan pertandingan pada tahun ini hanya mengambil kira bilangan ikan layaran yang berjaya dipancing dan didaratkan tanpa mengira saiz oleh pasukan peserta.

Ikan tidak perlu diukur panjang dan ukur lilitnya. Gambar dan video diambil oleh marshal sebagai bukti tangkapan.

Semua ikan layaran yang ditangkap wajib dilepaskan semula. Bagi mengelakkan kecederaan yang serius terhadap ikan, semua peserta diwajibkan menggunakan mata kail lingkar (circle hook) saja.

Pada hari pertama, pertandingan tamat pada pukul 4 petang, dan rata-rata peserta memberi laporan yang menyaksikan respons ikan layaran terlalu pasif terhadap umpan dihulurkan.

Hanya 16 ekor ikan layaran yang dapat dinaikkan. Ini berkemung­kinan disebabkan keadaan cuaca yang tidak beberapa baik berikutan hujan semalaman dan cuaca men­dung seharian.

Hari kedua pertandingan telah bermula seawal pukul 7 pagi lagi dan tamat pada 3 petang.

P. Jegan daripada Team DPM dengan ikan layarannya.

Namun terdapat peningkatan dari segi jumlah tangkapan, apabila 29 ekor ikan layaran berjaya dipan­cing termasuk seekor ikan mersuji (marlin).

Keputusan pada dua hari pertandingan RPBIC 25 ini mencatatkan sejumlah 46 ekor ikan berparuh (billfish) berjaya ditangkap di perairan Rompin secara keseluruhannya oleh para peserta.

Penyampaian hadiah

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah berlangsung pada malam itu.

Ia disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim, bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang,

Leong Yu Man, sambil diiringi Kamaruddin di Villea Rompin Resort & Golf, Kampung Lanjut Rompin Pahang.

Team Lure Haven dari Singapura telah mendapat tempat pertama pertandingan dengan tangkapan ikan layaran sebanyak tujuh ekor yang membawa 4,200 mata.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 beserta hadiah-hadiah iringan.

Tempat kedua jatuh kepada Team Xzoga Malaysia dengan hadiah RM15,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh Team Lemax Pro Malaysia dengan hadiah RM10,000.

Terima kasih daun keladi kepada pihak penganjur dan semua penaja kejohanan, semoga bertemu sekali lagi pada tahun hadapan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN