RUSUHAN di Indonesia pada awal bulan ini menyebabkan banyak bangunan kerajaan, infrastruktur kemudahan awam, harta benda dan nyawa terkorban.
Nilai kerugian dilaporkan mencecah RM285 juta belum lagi kesan-kesan langsung lain seperti nilai mata wang menjunam, pasaran saham menjadi tidak stabil dan tentu sekali keyakinan pelabur terjejas.
Semua ini tercetus akibat rasa tidak puas hati dengan pengumuman pimpinan kerajaan menaikkan elaun mewah Ahli Parlimen yang dikatakan 10 kali ganda berbanding gaji minimum rakyat.
Baru sahaja reda di Indonesia, rakyat Nepal pula merusuh dan kali ini lebih dahsyat dan ganas sehingga menyebabkan kerajaan Perdana Menteri, K.P. Sharma Oli tumbang, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh serta kemusnahan yang besar.
Kejadian di Nepal menyaksikan senario generasi muda (dikenali Generasi Z) hilang sabar apabila kerajaan cuba menyekat 26 platform media sosial sekali gus dianggap usaha menyekat kebebasan bersuara.
Seperti kita di sini, media sosial bukan sahaja platform hiburan tetapi satu rangkaian yang amat berkuasa sebagai kemudahan perkongsian maklumat merangkumi luahan, pandangan dan buah fikiran.
Begitu juga berperanan untuk pendidikan, jalinan komuniti, ekspresi diri dan kini menjadi semakin dominan sebagai premis jualan dan pemasaran dengan nilai ekonomi berbilion ringgit.
Berpuluh ribu rakyat hari ini memperoleh mencari rezeki dan menyara kehidupan mereka melalui platform media sosial.
Namun, isu media sosial di Nepal ini cuma percikan api (spark) ketika amarah rakyat yang terpendam begitu lama berikutan pimpinan kerajaan yang silih berganti (namun orang yang sama) tetapi tiada perubahan dalam membela nasib rakyat terutama golongan muda.
Dilaporkan satu daripada lima anak muda di Nepal menganggur sekali gus menyebabkan lebih 2,000 orang (tentu sekali orang muda) setiap hari terpaksa merantau ke luar negara menjadi buruh di Qatar, Dubai, negara-negara maju termasuk Malaysia untuk mencari rezeki.
Pada masa yang sama, anak-anak politikus memaparkan hidup mewah mereka di media sosial. Memandu kereta sport, memakai pakaian berjenama serta bercuti dan membeli-belah di Eropah.
Apa yang berlaku di Nepal dan Indonesia perlu kita semua pelajari supaya senario yang sama tidak berlaku kepada kita. Amarah yang berpanjangan perlu segera ditangani dan diperbaiki.
Suara, pandangan dan rintihan orang muda sebagai generasi pewaris masa depan perlu didengari. Mereka tidak sahaja disediakan kemudahan pendidikan yang baik tetapi juga perlu dididik bagaimana untuk bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Kita bimbang amarah jika ada bercampur aduk dengan hasutan dan fitnah, terutama melibatkan pihak-pihak tidak bertanggung jawab, mahu merebut kuasa dengan cara salah dan memecah-belah perpaduan rakyat.
Semoga kita kekal aman, sejahtera dan merdeka. Selamat menyambut Hari Malaysia.














