WANITA yang berkerjaya mestilah memahami tugas hakiki sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya. – Janaan AI

Wanita bekerja menurut syarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APA hukum wanita bekerja menurut syarak?

JAWAPAN: TUGAS pekerjaan bagi sesebuah keluarga pada awalnya dipikul oleh suami atau bapa. Ini sudah menjadi uruf dan adat. Begitu juga tradisi kebanyakan kaum serta bangsa. Akan tetapi setelah arus kemajuan serta kehidupan mula berubah, wanita dan lelaki seolah-olah seiring bahkan berlumba-lumba sepertimana dalam bidang pendidikan serta mencari peluang pekerjaan.

Secara umumnya wanita juga bekerja pada peringkat bagi membantu suaminya dalam menyelesaikan isu keteraturan rumah tangga. Dengan sebab itu, perempuan digelar rabbatul bait. Kerjanya adalah seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, mengasuh anak-anak bahkan sebahagian pula bercucuk tanam di hadapan rumah, serta menternak ayam, itik dan sebagainya yang menjadi penghasilan kepada masyarakat sekitar. Ini biasa dilakukan oleh wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kemudian wanita mula menceburi dalam bidang perguruan serta kerjaya yang bersesuaian. Sebahagian mereka melaksanakan perniagaan dengan mengambil kira apa yang dilakukan oleh Ummul Mukminin yang pertama, Khadijah R.Anha sebagai salah seorang tokoh korporat yang berjaya. Begitu juga, melihat peranan oleh al-Syifa’ R.Anha yang menjadi penyelia kepada pasar. Ada juga dalam kalangan sahabat yang membantu merawat tentera yang terluka dan cedera dalam peperangan. Begitu juga menjadi bidan kepada wanita yang bersalin seperti Ummu ‘Atiyyah.

Justeru, kerjaya bagi wanita tidaklah pelik dan bukanlah asing. Kami catatkan di sini kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya (Fatawa Mu’asirah (terj.), 2/202-205) yang menyebut: Walau bagaimanapun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh generasi.

Tugas ini disediakan oleh Allah S.W.T untuk wanita secara fizikal dan mental. Ini kerana, tiada siapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini. Pada tugas ini juga terletaknya masa depan umat Islam. Melalui tugas ini juga terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar iaitu kekayaan umat manusia.

Tugas wanita juga adalah menguruskan rumah tangga dengan membahagiakan suami. Selain itu, membentuk sebuah keluarga bahagia yang berasaskan ketenangan, kemesraan dan kasih sayang.

Dicatatkan, wanita yang menjadi pendamping yang baik kepada suaminya dikira satu jihad pada jalan Allah S.W.T.

Ini tidak bermakna pekerjaan wanita di luar rumah adalah haram menurut syarak kerana tiada sesiapa pun boleh mengharamkan sesuatu tanpa ketetapan syarak yang betul dan pembuktian yang jelas.

Sedangkan asas untuk semua perkara dan perbuatan biasa adalah harus. Dengan asas inilah kita katakan, sebenarnya pekerjaan wanita itu sendiri asalnya dibolehkan. Iaitu boleh jadi tuntutan sunat ataupun wajib sekiranya wanita itu memerlukannya.

Contohnya, balu ataupun janda yang tiada sumber pendapatan dan orang yang menanggung, sedangkan dia berkemampuan bagi meraih pendapatan yang dapat mencukupkan tuntutan keperluan ataupun kebajikannya.

Selain itu, boleh jadi keadaan keluarga wanita itu memerlukan dia bekerja seperti membantu suami, mendidik anak-anak ataupun adik beradiknya yang masih kecil ataupun membantu bapanya yang sudah tua.

Boleh jadi juga keadaan masyarakat itu sendiri yang memerlukan tugas wanita seperti mengubati dan merawat golongan wanita, mengajar anak-anak perempuan dan segala tugas yang seumpama dengannya yang mengkhususkan kepada golongan wanita. Namun apa yang paling utama, wanita bekerja sesama wanita, bukan bersama lelaki.

Apabila kita membolehkan wanita bekerja, maka perlu dibatasi dengan beberapa syarat.

Pertama, pekerjaan itu sendiri adalah pekerjaan yang mengikut syarak. Pekerjaan itu sendiri tidak haram ataupun cenderung ke arah melakukan yang haram. Contohnya, wanita yang bekerja sebagai orang gaji kepada lelaki bujang, setiausaha khas kepada seorang pengarah yang memerlukan mereka berdua-duaan.

Selain itu, penari yang merangsang segala nafsu dan keinginan dunia, pekerja kelab-kelab yang menghidangkan arak yang dilaknat oleh Rasulullah SAW. Sama ada pemberi minum, pembawa dan penjualnya.

Ataupun segala jenis pekerjaan selain daripada itu yang diharamkan oleh Islam kepada wanita terutamanya ataupun kepada semua golongan lelaki dan wanita.

Kedua, sentiasa menjaga adab wanita Muslimah apabila keluar dari rumah. Sama ada dari segi penampilan, gaya berjalan, pertuturan dan pergerakan.

Suka kami tegaskan, wanita yang berkerjaya mestilah memahami tugas hakiki sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya yang inginkan dambaan kasih sayang serta bantuannya ketika berada di rumah.

Ini akan melahirkan perasaan kasih sayang, rahmah dan sakinah di alam rumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN