SUKAN pickleball kian mendapat perhatian global dan ramai mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini dan gelanggangnya juga wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Dalam era ini, perkembangan ekosistem sukan juga berkembang pesat dengan gabungan teknologi dalam melahirkan golongan pemain mahir.
Sehubungan dengan itu, Kuala Lumpur menjadi lokasi kepada pencapaian baharu dalam arena sukan apabila Mothership melancarkan ekosistem pickleball berprestasi tinggi pertama dengan gabungan kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.
Bertempat di Jalan Ipoh, fasiliti moden ini diwujudkan hasil kerjasama strategik dengan jenama raket antarabangsa, Six Zero dan diperkukuhkan lagi dengan penggunaan teknologi analitik berasaskan AI.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Mothership kanan, Janet Teo berkata, usaha tersebut berlandaskan misi bersama untuk memartabatkan sukan ini di peringkat tempatan dan serantau.
“Mothership mahu menyediakan ruang inklusif yang meraikan setiap lapisan pemain sama ada pemula atau atlet kompetitif dengan peralatan tepat, sokongan pasukan berpengalaman dan visi yang jelas.
“Gelanggang ini juga bukan sahaja sebagai sebuah gelanggang permainan tetapi sebagai hab komuniti, pembangunan bakat serta pusat latihan berstruktur,” katanya pada perasmian gelanggang pickleball Mothership di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, gelanggang tersebut juga dilengkapi fasiliti setaraf pusat latihan antarabangsa serta bertaraf kejohanan dengan jaring selkirk, sistem pencahayaan profesional dan sokongan analitik masa nyata.
Katanya lagi, keistimewaan lain yang membezakan Mothership ialah pelaksanaan Program LaunchPad iaitu inisiatif pembangunan bakat pertama seumpamanya untuk pickleball di negara ini.
Program yang ditaja oleh U Mobile ini memberi laluan berasaskan data kepada pemain akar umbi untuk menggilap kemahiran mereka.
Disokong oleh rangkaian 5G Office Broadband U Mobile, analitik prestasi dapat dijalankan secara lebih efisien, membuktikan betapa teknologi mampu mempercepatkan pertumbuhan bakat baharu.

di Jalan Ipoh,
Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Turut menyokong visi ini ialah Leapmotor Malaysia, sebuah syarikat permulaan kenderaan elektrik dari China yang semakin berkembang.
“Leapmotor membawa nilai inovasi mobiliti melalui model pintar C10 seiring dengan semangat Mothership membolehkan individu melangkah lebih jauh dalam sukan,” ujarnya.
Bagi menambah daya tarikan, Six Zero memperkenalkan dua model raket terbaharu eksklusif untuk pasaran Malaysia.
Model Black Opal hadir dengan teras padu terapung, lapisan power gel dan pemegang shock shield untuk kawalan optimum, manakala Ruby Pro menggunakan gentian aramid dengan tekstur diamond tough yang sesuai untuk permainan agresif bertaraf elit.
Kedua-dua raket ini boleh didapati melalui Mothership dan Picklefox, memberi peluang kepada pemain tempatan mencuba inovasi terkini lebih awal.
Pengarah dan Pengasas Six Zero, Dale Young, menyifatkan kolaborasi ini sebagai lebih daripada sekadar fasiliti moden.
“Bagi saya, apa yang diusahakan Mothership ialah membina ruang di mana semangat, matlamat dan prestasi bergabung, sekali gus menetapkan penanda aras baharu buat sukan ini di Malaysia.
“Ia lebih daripada sekadar fasiliti sukan, Mothership membayangkan masa depan pickleball di Asia iaitu sebuah platform yang menghubungkan semangat tempatan dengan piawaian global,” kongsinya.
Ujarnya lagi, dengan sokongan jenama besar dan teknologi terkini, Kuala Lumpur kini mempunyai pusat sukan yang berpotensi tinggi untuk melahirkan generasi atlet pickleball bertaraf dunia.
Dalam pada itu, sempena pelancaran rasmi, Mothership juga telah menganjurkan kejohanan pertamanya pada 16 Ogos lalu dengan empat kategori iaitu beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran peringkat pertengahan serta perseorangan remaja 10 hingga 15 tahun.
Tarikan utama ialah hadiah wang tunai, barangan eksklusif, baucar bernilai hingga RM75,000 dan ganjaran menyertai program latihan elit lima bulan di bawah sistem LaunchPad yang ditaja sepenuhnya.
Mothership dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga tengah malam, menjadikannya mudah diakses untuk semua golongan.














