PETALING JAYA – Kawasan terbuka khususnya pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai kini digunakan sebagai ‘perisai’ untuk penjenayah bersembunyi atau menyelinap selepas melakukan serangan ke atas mana-mana individu.
Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, fenomena itu berlaku kerana penjenayah kini semakin bijak membaca kelemahan persekitaran dan tahap kawalan keselamatan.
Jelasnya, mereka sedar bahawa di kawasan terbuka, terutamanya yang ramai orang, suasana sibuk boleh menjadi ‘perisai’ untuk mereka bersembunyi selepas melakukan serangan.
“Penyerang boleh bercampur dengan orang ramai atau melarikan diri sebelum pihak keselamatan sempat bertindak.
“Selain itu, serangan di ruang awam memberi kesan psikologi yang lebih besar ia mencipta rasa panik dan tidak selamat, bukan sahaja kepada mangsa, tetapi kepada sesiapa sahaja yang berada di situ atau menonton liputan berita,” katanya.
Beliau berkata, penjenayah juga sering terdorong oleh liputan meluas di media sosial dan berita tanpa disedari memberi ‘pentas’ kepada mereka menunjukkan keberanian atau menghantar mesej tertentu.
Di luar negara seperti di United Kingdom dan Perancis ujarnya, pihak berkuasa mendapati peningkatan serangan di ruang awam sering dikaitkan dengan dua perkara utama iaitu kelemahan liputan telivisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan tertentu dan ketiadaan anggota keselamatan yang kelihatan pada waktu kritikal.
“Ini adalah pengajaran penting untuk Malaysia, kerana kelemahan yang sama boleh memberi ruang kepada penjenayah untuk bertindak dengan lebih berani,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Zalmizy berkata, pusat beli-belah perlu dianggap sebagai kawasan strategik yang memerlukan kawalan keselamatan tinggi.
“Tempat ini bukan sahaja menjadi lokasi untuk membeli-belah, tetapi juga pusat tumpuan keluarga, pelancong, pelajar dan kadangkala tokoh awam.
“Jika keselamatan di lokasi sebegini terancam, ia menakutkan orang ramai untuk datang,” ujarnya.
Mengulas mengenai tanggungjawab pihak berkuasa, Dr. Zalmizy berkata, mereka perlu bergerak daripada tindakan reaktif kepada pencegahan proaktif.
“Malaysia boleh mencontohi Singapura yang menggunakan PolCam untuk pemantauan masa nyata, manakala Jepun pula menempatkan anggota polis di kawasan kecil bagi meningkatkan kehadiran di lapangan.
“Kerjasama strategik antara polis dan pengurusan pusat beli-belah juga penting. Audit keselamatan berkala, latihan simulasi kecemasan serta perkongsian maklumat masa nyata boleh mempercepatkan respons terhadap ancaman,” katanya.
Serangan secara terbuka di tempat awam khususnya di pusat beli-belah menjadi perhatian umum selepas pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada 5 Mei tahun lalu.
Terbaharu, anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pula diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya minggu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika ingin memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu bersama ibunya.














