ASSALAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya tentang perbuatan sengaja menunjukkan kita sedang memegang anjing dan berbangga dapat melakukannya dengan mempamerkannya di media sosial. Apakah hukum bagi perbuatan seperti ini?
JAWAPAN: ISU hukum berkaitan anjing dan status kenajisannya sentiasa menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia. Terdapat beberapa golongan yang memandang remeh dan enteng perkara ini dengan menyangka apabila diharuskan untuk membela anjing, maka mereka juga boleh untuk mempamerkan perbuatan menyentuh anjing dengan sesuka hati di media sosial.
Bagi menjawab persoalan ini, secara asasnya sememangnya anjing ialah haiwan yang termasuk najis berat (mughallazah). Namun, ia bukanlah bermakna anjing itu hina dan boleh dihinakan. Anjing juga termasuk haiwan yang perlu berlaku ihsan dan tidak boleh dizalimi seperti dalam hadis Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembelih, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut.” (Riwayat Muslim)
Namun begitu, ihsan kepada binatang tidak sepatutnya membawa kepada membenarkan perkara yang dihukum haram oleh para ulama seperti menyentuh atau memegang haiwan yang tergolong sebagai najis mughallazah.
Sepertimana yang dimaklumi bahawa hukum kenajisan anjing adalah satu perkara khilaf dalam kalangan ulama. Terdapat mazhab dan beberapa pandangan ulama yang lain mengatakan bahawa anjing bukan daripada najis mughallazah.
Walau bagaimanapun, di sisi mazhab al-Syafie secara jelas menyatakan bahawa anjing adalah termasuk najis berat yang wajib untuk dibasuh dengan tujuh kali basuhan, satu daripadanya dengan air bercampur tanah. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa:
“Para ulama telah berselisih pandangan berkaitan status jilatan anjing. Mazhab kami (al-Shafi‘i) bahawa apa yang dijilat olehnya adalah bernajis dan wajib untuk membasuh bekasnya dengan tujuh kali basuhan satu daripadanya dengan air bercampur tanah. Ini juga pandangan kebanyakan para ulama.”
Oleh yang demikian, menyentuh anjing yang merupakan najis mughallazah dengan tanpa keperluan dan tujuan juga adalah haram kerana sengaja menyentuh najis dan mengotorkan diri dengannya. Imam Zakaria al-Ansari menyebutkan dalam kitab Asna al-Mathalib dengan berkata:
“Pandangan kami (mazhab al-Shafi’i) adalah haram untuk sengaja mengotorkan diri dengan najis tanpa sebarang tujuan.
Selain itu, hukum membela anjing tanpa keperluan juga adalah haram kecuali dalam perkara yang dibenarkan syarak seperti untuk memburu, menjaga binatang ternakan atau kebun tanaman. Bahkan membela anjing dengan tanpa keperluan yang dibenarkan syarak ini juga akan mengurangkan pahala pemiliknya pada setiap hari sebanyak dua qirath. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan atau penjaga kebun, maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua qirath pada setiap hari.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan pernyataan di atas, jika terdapat keperluan yang dibenarkan syarak, maka hukumnya adalah harus untuk memelihara anjing.
Walau bagaimanapun, dalam isu berkaitan memegang anjing yang dipelihara tersebut dan berbangga dengan mempamerkannya di media-media sosial ialah satu isu yang berbeza. Perbuatan tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima untuk dinormalisasikan atau dijadikan sesuatu yang biasa. Hal ini setiap individu perlu untuk menghormati pandangan umum yang diterima dan diguna pakai di sesuatu tempat. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:
“Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”
Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa pengamalan Islam di Malaysia yang berteraskan kepada mazhab al-Syafie, maka pandangan ini sepatutnya dipegang dan diterima oleh semua umat Islam. Di samping itu, umat Islam sendiri hendaklah menghindari sebarang perbuatan yang akan menimbulkan fitnah dan persepsi negatif terhadap diri, masyarakat dan agama.














