fbpx
Nor Izzalwaty ketika menghadiri majlis konvokesyen Muhammad Shamalan di Unimas, November tahun lalu.

‘Assalammualaikum, ini ucapan salam pertama saya kepada cikgu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Assalamualaikum cikgu, ucapan salam pertama saya kepada cikgu,”

Mesej ringkas itu cukup membuatkan seorang guru sebak dan tidak menyangka apabila bekas pelajarnya yang dikenali sejak Tingkatan Lima memaklumkan bahawa dia kini bergelar seorang Muslim

Nor Izzalwaty Norly, 45, berkata, dia sama sekali tidak menyangka Muhammad Shamalan, 26, akan memilih untuk memeluk Islam kerana pemuda itu tidak pernah memberikan sebarang petanda mengenainya.

Menurut Nor Izzalwaty yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Usman Awang, Johor Bahru, dia sedang memandu bersama anaknya ketika menerima mesej daripada Shamalan sekitar pukul 2 petang pada Jumaat lalu.

“Saya dan anak terus terdiam serta terpinga-pinga kerana terlalu terkejut. Kami langsung tidak menyangka perkara itu akan berlaku kerana sepanjang saya mengajar, dia tidak pernah menunjukkan minat untuk memeluk Islam.

“Saya tanya apa yang membuatkan dia memeluk Islam. Jawapan dia, ‘Saya rasa memang Allah sendiri yang nak saya jadi sebagai hamba-Nya.’ Disebabkan itulah dia mengambil keputusan memeluk Islam selepas minta izin pak ciknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Lebih mengharukan, Nor Izzalwaty turut menerima kunjungan Shamalan di rumahnya pada petang hari sama untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai keputusan tersebut.

Nor Izzalwaty berkata, dia mengenali Shamalan sejak menjadi guru kelas pemuda tersebut ketika di Tingkatan Lima, selain mengajarnya mata pelajaran Matematik.

Selepas tamat Tingkatan Lima, Shamalan meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam, namun tidak pernah terputus hubungan disebabkan pelajar itu masih menghubungi Nor Izzalwaty untuk bertanya khabar.

Katanya, setiap kali berdepan peperiksaan atau pembentangan, Shamalan akan menghubunginya untuk meminta didoakan sehingga berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Nor Izzalwaty berkata, dia sendiri pernah menghadiri majlis konvokesyen Shamalan di Unimas pada 4 November tahun lalu sebagai tanda meraikan kejayaan bekas pelajarnya itu.

“Sepanjang tempoh itu, memang dia tak ada beritahu (mendalami agama Islam) tetapi dalam perbualan di WhatsApp, dia kerap menggunakan insya Allah, syukur.. dan perkataan-perkataan lain.. tapi sebab dia ramai kawan Islam jadi saya tak anggap ianya petanda sangat.

“Dia merupakan seorang pelajar yang sangat berbudi bahasa dan sentiasa menghormati guru. Guru-guru lain juga menyuarakan perkara sama apabila mengetahui saya mahu ke Sarawak bagi meraikan konvokesyennya. Apabila sudah bekerja, dia juga pernah memberi saya duit raya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nor Izzalwaty juga sempat menitipkan pesanan kepada Shamalan supaya bersedia menempuh perjalanan panjang dalam mendalami Islam serta mendapatkan bimbingan daripada individu yang tepat.

“Saya beritahu.. ada masa awak (Shamalan) akan rasa keseorangan.. ada masa akan rasa sunyi.. tapi ingat, saya dan anak-anak saya sentiasa ada.. Saya juga pesan cari org baik-baik untuk bimbing.. mula belajar solat dan puasa,” katanya.

Terdahulu, hantaran menyentuh hati yang dikongsikan Nor Izzalwaty di Threads meraih lebih 9,000 tanda suka, lebih 400 perkongsian dan 204 komen.

Ramai pengguna media sosial tersentuh dengan hubungan akrab antara guru dan bekas pelajar itu, selain mendoakan agar Muhammad Shamalan terus istiqamah serta dipermudahkan dalam mendalami Islam. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN