fbpx
SALAH sebuah kedai vape di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu yang ditutup susulan larangan jualan.

‘Rugi RM5 juta, tapi kami akur tutup kedai vape’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 160 pengusaha premis rokok elektronik atau vape di negeri ini mendakwa menanggung kerugian keseluruhan kira-kira RM5 juta susulan pengharaman jualan berkuat kuasa Jumaat lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd. Kamaruzaman Mahmud berkata, kesemua mereka akur untuk menutup perniagaan yang telah diusahakan sejak kira-kira 13 tahun lalu.

“Kami sepakat menutup perniagaan ini dalam keadaan kecewa dan keliru. Tambah kesal, seolah-olah pandai-pandailah kami sendiri mahu bangkit mencari perniagaan lain.

“Tidak pernah ada panggilan dan pertemuan apatah lagi bantuan daripada kerajaan negeri Terengganu,” dakwanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Muhd. Kamaruzaman mendakwa, pengusaha-pengusaha vape Terengganu kini terpaksa berjuang sesama sendiri mencari peluang perniagaan baharu bagi kelangsungan hidup.

Beliau berkata, Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu juga sedang membantu ahli-ahli menjual stok produk berkaitan vape yang masih tersisa ke ­negeri-negeri lain yang masih belum melaksanakan pengharaman.

“Ikhtiar ini sekurang-kurang­nya dapat kurangkan kerugian yang terpaksa kami tanggung.

“Tempoh tiga bulan diberi tidak mencukupi untuk menghabiskan stok sedia ada apatah lagi mencari tapak untuk beralih ke bidang lain tanpa bantuan ­mana-mana pihak,” dakwanya.

Muhd. Kamaruzaman mendakwa, Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu tetap dengan pendirian menganggap keputusan larangan jualan ­diambil kerajaan negeri terlalu drastik.

Beliau berkata, sepatutnya langkah kawal selia diambil ­terlebih dahulu seperti ditetapkan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

“Pelaksanaan pengharaman industri vape di Terengganu ­bertentangan dengan dasar Kerajaan Pusat.

“Akta Kawalan Produk Me­rokok untuk Kesihatan Awam 2023 sudah lengkap sebagai mekanisme kawalan bagi memastikan produk vape dikawal daripada segi umur pengguna, spesifikasi nikotin, pelesenan dan amaran kesihatan. Kenapa tidak ikut akta itu sahaja?,” ­dakwanya.

Sementara itu, di Perlis, tinjauan Kosmo! di beberapa kedai vape antaranya di sekitar Jalan Bukit Lagi, Jalan Bintong dan ­Jalan Raja Syed Alwi, di sini, mendapati semua pengusaha terlibat mematuhi larangan jualan ­tersebut.

Tinjauan mendapati kebanyakan kedai-kedai terlibat tidak lagi beroperasi dan menutup premis perniagaan mereka susulan penguatkuasaan arahan itu.

Seorang pengusaha yang ingin dikenali sebagai Azim, 32, berkata, pihaknya akur dengan pelaksanaan larangan itu dan merancang untuk menjalankan perniagaan lain.

“Saya belum buat sebarang keputusan lagi dan masih fikirkan perniagaan lain yang sesuai diusahakan,” katanya semalam.

Azim berkata, pihaknya sebelum ini juga terpaksa menawarkan jualan harga borong kepada pelanggannya bagi menghabiskan bekalan sedia ada untuk menggelakkan kerugian besar.

“Lebihan bekalan yang ada mungkin akan dijual kepada kenalan-kenalan terdekat sahaja dan bukan lagi di kedai untuk elak kerugian,” katanya.

Bermula 1 Ogos lalu, kerajaan Terengganu dan Perlis mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape selepas Kelantan, Johor dan Kedah dalam usaha membanteras budaya rokok elektronik dalam kalangan rakyat.

Langkah ini dilihat sebagai tindakan tegas demi kesihatan awam, khususnya dalam melindungi golongan muda daripada tabiat merokok moden yang kini semakin menular.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN