fbpx
Se Young dan gandingan Won Ho-Seungjae telah menjuarai ketiga-tiga kejohanan Super 1000 bagi tahun ini dan kini dalam pemburuan yang terakhir iaitu Terbuka China sekali gus melengkapkan dominasi penuh. Siapa mampu sekat mereka?

Usah biar Korea sapu bersih kesemuanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini kejohanan badminton Super 1000 Terbuka China rancak berlangsung dan tiga nama pemain Korea Selatan ini menjadi tumpuan. Adakah ratu badmintonnya, An Se Young serta beregu lelaki negara itu, Kim Won Ho-Seo Seungjae bakal cipta rekod dunia yang pertama menjuarai kesemua empat kejohanan Super 1000 dalam satu musim?

Bertaraf tertinggi dengan hadiah paling lumayan dalam jelajah badminton BWF, Se Young serta Won Ho-Seungjae telah membolot gelaran ketiga-tiga Super 1000 bagi tahun 2025 iaitu Terbuka Malaysia, All England dan Terbuka Indonesia.

Kini, mereka memburu yang keempat iaitu yang terakhir, Terbuka China bagi tahun ini. Super 1000 merujuk kepada kejohanan menawarkan paling banyak mata dan paling mewah hadiah kemenangannya dalam jelajah BWF.

Baru minggu lalu ketiga-tiga mereka turut mengungguli Terbuka Jepun yang bertaraf Super 750, adakah momentum dominasi kemenangan itu diteruskan ke minggu ini?

Se Young memang luar biasa. Bagaikan kini eranya, pada usia hanya 22 tahun, dia sudah merangkul semua gelaran kejohanan besar badminton – juara Olimpik, juara Dunia, juara Asia, juara All England dan juara World Tour Final.

Se Young terkenal sebagai seorang pemain yang cukup kental pertahanannya, kekuatan footwork dan sikap tidak mudah berputus asa. Kekuatan mentalnya dikatakan banyak dipengaruhi oleh bapanya yang merupakan atlet tinju.

Pada tahun 2017, ketika usia 15 tahun dia membawa kemenangan kepada pasukannya dalam Asian Junior Championship di Jakarta. Ketika masih berada di sekolah menengah dia sudah diserap menyertai pasukan kebangsaan senior Korea Selatan. Dia mula memenangi gelaran jelajah BWF pada tahun 2019 di Super 300 New Zealand menewaskan bekas juara Olimpik dari China, Li Xuerui.

Ogos 2023 menjadi salah satu detik penting apabila dia menjadi perseorangan wanita pertama Korea Selatan yang berjaya menjadi juara dunia badminton. Dia meraih kemenangan sempurna pada kejohanan itu dengan tumbangkan juara-juara Olimpik terdahulu iaitu Chen Yu Fei dari China dan Carolina Marin dari Sepanyol. Sejak itulah dia bergelar No. 1 dunia perseorangan wanita sehingga sekarang.

“Saya suka mendapatkan gelaran seperti ia yang pertama kali atau baharu. Jadi, saya memberikan banyak tekanan kepada diri saya. Saya fikir mungkin itulah yang menyebabkan saya lebih cepat berjaya daripada yang lain,” kata Se Young dalam satu temu bual.

Justeru, boleh dikatakan peluang Se Young cipta sejarah cukup besar. Penghalangnya mungkin cuma Yu Fei yang menewaskannya pada Terbuka Singapura pada Mei lalu.

Berbanding Won Ho-Seungjae, peluang mereka lakar sejarah dilihat lebih mencabar terutama cabaran daripada tujuh beregu lelaki Malaysia selain beregu-beregu China, Indonesia dan Denmark yang mungkin boleh beri tentangan.

Bagaimanapun ‘pakar beregu’, Seungjae bersama Won Ho iaitu anak kepada juara All England perseorangan wanita 1993 hingga 1995 dilihat masih ‘calon favourite’ selaku beregu lelaki No. 1 dunia yang baru merampasnya daripada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin minggu lalu.

Tambah pula, Sze Fei-Izzuddin telah pun tewas kepada satu lagi beregu Korea iaitu bekas pasangan Seungjae, Kang Min Hyuk dan gandingan baharunya, Ki Dongju semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN