HARI ini kita hidup dalam dunia yang begitu sibuk, bising dan penuh dengan masalah. Di setiap detik, yang kedengaran hanya bunyi notifikasi telefon pintar yang tidak pernah ada pengakhirannya.
Saat pergi kerja, kita disajikan dengan jalan raya yang bersimpang-siur, karenah segelintir pemandu yang tiada adab dan manusia yang tidak menghormati undang-undang.
Manusia semakin leka dan berlumba-lumba mencari ‘sesuatu’. Semua itu dikejar tanpa henti sehinggakan ramai yang tidak sedar bahawa kehidupan mereka telah kosong.
Ia ibarat kita hidup, tetapi tidak merasa hidup. Kita bergerak, tetapi tidak tahu ke mana arah tuju. Bila semua kekosongan itu tidak dapat diisi, maka ramailah yang mencari ketenangan dengan seribu satu cara.
Dalam Islam, kita telah diberi panduan yang cukup jelas dalam al-Quran untuk mencari ketenangan hakiki. Ada bermacam cara untuk mendapatkan perasaan tenang. Dekatkan diri dengan Allah, banyakkan berdoa dan biasakan diri melakukan perkara-perkara berfaedah.
Dari sudut psikologi pula, banyak kaedah yang boleh dipraktikkan. Paling asas dan biasa dilakukan adalah berhibur, membeli-belah ataupun memilih untuk mengasingkan diri.
Namun tanpa kita sedar, perkara yang mudah dalam menyembuhkan jiwa yang resah, fikiran yang kusut dan hati yang memberontak itu sebenarnya selalu ada di sekitar kita. Ia adalah alam.
Ramai antara kita terlupa bahawa ketenangan tidak perlu dicari di tempat mewah. Cukup berjalan di taman kecil, duduk di bawah pokok sambil memejamkan mata.
Kita juga tidak perlu bercuti ke luar negara atau mengasingkan diri ke pulau. Mungkin sudah masanya kita berdamai dengan alam. Beranikan diri memijak rumput yang hijau, serasikan diri dengan suasana hutan yang mendamaikan dan biarkan telinga mencari kedamaian dengan bunyi deruan sungai.
Bersama alam, kita belajar untuk diam, untuk mendengar dan untuk kembali kepada fitrah iaitu manusia dan alam itu tidak pernah berpisah.
Ada sebab mengapa kita perlu berdamai dengan alam. Alam secara semula jadi berfungsi mengikut ritma fitrah manusia iaitu perlahan, tenang dan konsisten. Alam sangat berbeza dengan ‘dunia’ kita yang terlalu terburu-buru.
Kajian juga menunjukkan bahawa berada di dalam persekitaran hijau menurunkan tekanan darah dan kebimbangan, tetapi jauh lebih daripada itu, ia membawa kita kembali kepada diri.
Apa yang penting adalah alam mengajar kita menghargai setiap saat yang sedang berlangsung. Saat bersama keluarga, anak-anak dan sahabat yang memahami. Lebih dari itu, alam juga membentuk kita menjadi manusia yang matang dan boleh berfikir secara waras.
Di akhirnya, mengenal alam bukan hanya untuk santapan jiwa kita sebagai manusia, tetapi ia adalah untuk membuktikan kehambaan kita kepada Tuhan yang Maha Esa dengan cara bersyukur.
Percayalah, ketenangan bukan sesuatu yang perlu dicari jauh, bukan juga dibeli dengan harga mahal, ia sebenarnya ada dalam diri kita.














