fbpx
Maimum (tengah) melayan pelanggan di warungnya di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu semalam.

Warung bawah rumah jual nasi minyak RM3, kuih 25 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Warung klasik ala 70-an yang diusahakan pasangan suami isteri warga emas di Kampung Tanjung Baru di sini, ‘diserbu’ orang ramai sejak seminggu lalu selepas premis itu tular di media sosial.

Maimun Hasan, 68, berkata, warung bersama kedai runcit itu diusahakan dengan suaminya, Abdullah Husin, 75, di bahagian bawah rumah mereka sejak lebih 50 tahun lalu.

Katanya, reka bentuk premis itu tidak pernah diubah suai sama sewaktu ia mula dibuka pada tahun 1970-an.

“Kami hanya berniaga kecil-kecilan dan pelanggan dalam kalangan penduduk kampung ini sahaja.

“Begitupun ramai pengunjung termasuk yang menetap di luar daerah ini datang ke warung kami sejak seminggu lalu selepas seorang pelanggan viralkan warung ini di media sosial,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di Kampung Tanjung Baru di sini semalam.

Maimun berkata, setiap hari, warungnya beroperasi hingga pukul 10 pagi, manakala kedai runcit yang berada di dalam premis sama pula dilanjutkan hingga pukul 10.30 malam.

Nenek 12 cucu itu berkata, dia dan suami menjual menu sarapan tradisional Terengganu secara kecil-kecilan sesuai usia dan kudrat mereka.

“Setiap pagi, saya dan suami bangun seawal pukul 5 pagi untuk menyediakan nasi minyak dan nasi lemak, masing-masing antara dua hingga empat kilogram (kg).

“Saya menggunakan sekilogram tepung gandum untuk menghasilkan kuih kayu keramat,” katanya.

Menurutnya, nasi minyak dan nasi lemak masing-masing dijual pada harga RM3 dan RM2 sepinggan, manakala sebiji kuih kayu keramat cuma 25 sen.

“Warung dan kedai runcit ini sangat sentimental buat kami kerana hasil perniagaan inilah kami membesarkan enam anak yang sudah berusia antara 35 hingga 48 tahun,” katanya.

Seorang pelanggan, Aini Mohd. Zain, 52, berkata, dia sanggup datang dari Marang semata-mata untuk bersarapan di warung Maimun.

“Suasana warung papan terletak di bawah rumah sukar ditemui sekarang dan ia telah mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN