DRAMA Netflix bertajuk Adolescence baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap impak teknologi dan media sosial dalam kesejahteraan kanak-kanak serta cabaran yang semakin meningkat yang dihadapi oleh ibu bapa dalam memantau kehidupan digital anak-anak mereka.
Adolescence menampilkan konflik antara ibu bapa dan anak-anak mengenai penggunaan teknologi, identiti diri, serta keperluan untuk privasi dan kebebasan.
Dalam zaman media sosial ini, sudah menjadi kelaziman apabila melihat kanak-kanak menghabiskan masa bersama telefon pintar mereka.
Penulis yang baru-baru ini berkunjung ke rumah seorang rakan juga terserempak sekumpulan kanak-kanak berusia antara lapan hingga 11 tahun yang berkumpul di ruang riadah kondominium bersama telefon pintar masing-masing.
Tidak dinafikan, kemajuan teknologi menawarkan pelbagai peluang seperti akses kepada sumber pendidikan, hiburan dan komunikasi yang lebih baik. Namun begitu, ia turut membawa cabaran.
Remaja boleh menjadi terlalu leka dengan dunia digital sehingga menyebabkan pengasingan diri, kurang komunikasi secara bersemuka, kemahiran sosial dan interpersonal yang lemah serta konflik dalam keluarga.
Lebih membimbangkan lagi adalah bahaya dalam talian seperti buli siber, kecurian identiti dan penipuan.
Ancaman-ancaman inilah yang sering menambah kebimbangan ibu bapa yang bergelut untuk mencari keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan dalam kehidupan digital anak-anak mereka.
Menurut Pensyarah Kanan Program Sarjana Psikologi Klinikal Pusat Pengajian Seni dan Sains Liberal, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Riadah Universiti Taylor, Faeza Hasnan, cabaran utama dalam menguruskan penglibatan digital kanak-kanak berpunca daripada jurang generasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka yang lebih celik teknologi.
“Kebanyakan ibu bapa hari ini membesar dengan bersosial secara bersemuka, manakala remaja masa kini membina persahabatan, identiti dan harga diri mereka secara online.
“Apa yang dilihat ibu bapa sebagai membuang masa, dilihat oleh remaja sebagai bahagian penting dalam kehidupan sosial mereka.
“Justeru, ini menyukarkan ibu bapa untuk memahami keterikatan emosi anak-anak,” katanya.
Faeza menambah, zaman remaja adalah fasa penting di mana seseorang membentuk identiti dan konsep diri mereka.
Dalam fasa ini, remaja akan mula meneroka kebebasan dan mula mempertahankan hak mereka, termasuklah hak untuk privasi, penyertaan dan ekspresi diri.
Secara semula jadi, ini mencetuskan konflik apabila ibu bapa meletakkan had, manakala anak-anak pula berusaha menuntut autonomi.
“Kaedah keibubapaan tradisional seperti pemantauan ketat atau larangan penggunaan peranti selalunya akan memakan diri.
“Ia menyebabkan remaja menjadi lebih berahsia tentang aktiviti dalam talian mereka. Daripada melibatkan diri dalam perebutan kuasa, ibu bapa boleh mengambil langkah proaktif untuk membina pendekatan yang lebih sihat dan seimbang terhadap penglibatan digital.
“Salah satu strateginya adalah dengan menukar pendekatan daripada mengawal kepada menjalin kerjasama,” jelasnya.
Daripada terlalu menekankan peraturan, ibu bapa boleh berbincang tentang nilai, risiko dan sempadan dalam dunia digital.
Alat keibubapaan yang paling berkesan bukanlah pantau tetapi percaya.
Komunikasi yang terbuka dan hubungan emosi yang terjalin mencipta suasana di mana remaja dengan rela hati mendapatkan bimbingan ibu bapa tanpa perlu menyembunyikan aktiviti mereka.















