fbpx
GAMBAR HIASAN.

Jenaka seksual: Gurauan atau gangguan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam dunia pekerjaan, hubu­ngan antara rakan sekerja sering kali diwarnai dengan pelbagai interaksi sosial termasuk jenaka dan gurauan. Namun, terdapat satu aspek yang sering terjadi dan dipandang remeh iaitu buli dan jenaka seksual.

Dalam kalangan penjawat awam, isu ini semakin hangat diperkatakan apabila jenaka bersifat seksual­ atau menjatuhkan ma­ruah individu sering kali dianggap sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak mendatangkan kesan negatif.

Kebanyakan pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sekadar gurauan yang tidak seharusnya diambil serius oleh rakan sekerja. Hakikatnya, budaya seperti ini boleh memberi impak yang besar terhadap ke­sejahteraan emosi, produkti­viti, dan persekitaran kerja yang sihat.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kes buli dan gangguan seksual di tempat kerja semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terma­suk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan institusi penyelidikan.

Menurut satu laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), terdapat pe­ningkatan jumlah aduan­ berkaitan gangguan seksual dalam sektor awam, khususnya dalam kala­ngan wanita. Kes ini merangkumi pelbagai bentuk gangguan termasuk jenaka yang menjurus kepada unsur seksual, perlakuan tidak senonoh serta tekanan psikologi akibat ejekan yang berulang kali.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Muhammad Affandi Ismail dalam penyelidikannya mengenai buli di tempat kerja dalam sektor awam di Malaysia, budaya buli masih wujud de­ngan pelbagai dimensi termasuk buli psikologi dan gangguan berbentuk ejekan seksual. Laporan dari Kementerian Pendidikan (KPM) juga menunjukkan budaya buli bukan sahaja berlaku di bangku sekolah, tetapi turut berterusan hingga ke alam pekerjaan.

Pada tahun 2024, sebanyak 6,208 kes buli direkodkan dalam kalangan pelajar, sedikit menurun berbanding 6,528 kes pada tahun 2023. Walaupun data ini berkaitan dengan institusi pendidikan, ia mencerminkan betapa tingginya risiko budaya buli dan gangguan emosi yang boleh diteruskan ke alam pekerjaan, termasuk dalam sektor awam.

Risiko

Risiko pembawaan budaya buli ini diramal akan membawa ke alam pekerjaan sekiranya ti­dak dibendung dari awal. Jus­teru, semua pihak bertanggungjawab perlu bertindak umpama peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di peringkat antarabangsa, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan lebih daripada 50 peratus pekerja wanita di seluruh dunia mengalami gangguan seksual di tempat kerja, sama ada dalam bentuk perla­kuan fizikal atau lisan, termasuk jenaka yang menjurus kepada unsur seksual. Statistik ini me­nunjukkan betapa seriusnya isu ini, bukan hanya dalam konteks Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Buli dan gangguan seksual, sama ada dalam bentuk fizikal, lisan atau psikologi memberi kesan langsung terhadap prestasi kualiti kerja penjawat awam. Apabila seseorang individu mengalami gangguan berulang, mereka cenderung untuk meng­alami tekanan psikologi yang tinggi.

Tekanan ini boleh mengakibatkan penurunan motivasi kerja, daya konsentrasi akan terjejas untuk menumpukan perhatian serta peningkatan kadar ketidakhadiran akibat tekanan emosi yang berpanjangan.

Kajian dalam Jurnal Psikologi & Kaunseling Perkhidmatan Awam pada tahun 2020 me­nunjukkan bahawa pekerja yang menjadi mangsa buli cenderung mengalami sindrom keletihan emosi yang boleh menjejaskan kualiti kerja mereka. Ini boleh menyebabkan kesilapan dalam tugas rasmi, penurunan produktiviti dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap keseluruhan sistem perkhidmatan awam.

Lebih membimbangkan, jika isu ini tidak ditangani dengan segera dan serius, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tidak dihargai dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, mengakibatkan kadar keluar masuk pekerja yang tinggi dan besar kemungkinan kerajaan hilang pekerja yang berkaliber dan berpotensi tinggi.

Buli dan gangguan seksual boleh menyebabkan kesan psi­kologi yang serius terhadap mangsa. Mangsa yang mengalami gangguan secara berterusan boleh mengalami masalah seper­ti kemurungan, kebimbangan me­lampau, hilang keyakinan diri, dan dalam kes yang lebih teruk, kecenderungan untuk mencede­rakan diri sendiri.

Mangsa gangguan seksual se­ring mengalami trauma psikologi yang boleh mengakibatkan mereka mengasingkan diri daripada rakan sekerja, seterusnya menjejaskan hubungan sosial dan kese­jahteraan mental mereka.

Tidak selamat

Selain itu, kajian oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) turut menyatakan bahawa persekitaran kerja yang tidak sihat akibat buli dan gangguan seksual boleh menyebabkan konflik dalaman dalam organisasi, sekaligus mewujudkan suasana kerja yang toksik.

Apabila pekerja berasa tidak selamat di tempat kerja, mereka lebih cenderung untuk bersikap pasif dan mengelakkan interak­si dengan rakan sekerja, yang akhirnya menjejaskan komunikasi dan kerjasama dalam organisasi.

Kebimbangan ketara terhadap isu ini adalah mengenai penghaki­san sensitiviti manusia terhadap isu-isu moral, etika, profesionalisma serta menormalisasikan perkara sebegini.

Apabila jenaka yang menjurus kepada unsur seksual atau menjatuhkan ma­ruah individu menjadi perkara biasa, masyarakat secara tidak langsung mula menganggapnya sebagai sesuatu yang normal. Sikap tidak peduli terhadap pe­rasaan orang lain ini boleh membawa kepada normalisasi gangguan seksual di tempat kerja.

Sebagai contoh, terdapat kes di mana penjawat awam yang melaporkan gangguan seksual di tempat kerja dikritik kerana dianggap ‘terlalu sensitif’ atau ‘tidak boleh menerima gurauan.’

Dalam situasi ini, budaya organisasi yang tidak responsif terhadap isu-isu seperti ini akan te­rus memudahkan pelaku untuk mengulangi kesalahan mereka tanpa sebarang tindakan tegas.

Malah, terdapat juga pemang­sa yang enggan melaporkan kerana melibatkan aib pelaku atau rakan sekerja selain alasan pembuli memegang jawatan tertinggi. Hal ini menunjukkan bahawa masih terdapat jurang dalam pelaksanaan polisi dan perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual.

Hal ini bukanlah asing kepada kita, namun apakah tindakan kita sebagai manusia yang bertanggungjawab untuk bersama-sama membanteraskan perkara ini? Ini bukanlah isu yang boleh dipandang ringan atau dianggap sebagai sekadar gurauan.

Impaknya terhadap kualiti kerja, kestabilan emosi, dan sensitiviti manusia adalah amat besar dan boleh menjejaskan keberkesanan perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Antara cadangan penyelesai­an adalah mempunyai sistem adu­an yang efektif. Setiap jabatan awam perlu ada mekanisme adu­an yang telus dan melindungi identiti mangsa bagi memastikan mereka berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian buli dan gangguan seksual.

Selain itu, memberi ke­sedaran sosial social awareness perlu dipupuk dalam kalangan penjawat awam mengenai kesan negatif akibat buli, ejekan dan gangguan seksual bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang tindakan ini.

Seterusnya, lebih memperketatkan penguatkuasaan undang-undang dan polisi kerajaan, terutamanya dalam Akta Kerja 1955 bagi melindungi pekerja dari­pada gangguan seksual, ejekan dan pembulian yang berterusan.

Inisiatif yang boleh diadaptasi ini bertujuan untuk memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, produktif, dan harmoni untuk semua penjawat awam di Malaysia. Akhir kata, hormati, lindungi, dan selamatkan!.

Siti Balkis Mohamed Ibrahim ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan & Komunikasi Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN