fbpx
MOHAMMAD AZHAR dan Syed Mohd. Nasri dengan koleksi Gundam maisng-masing.

‘Gila’ Gundam, kumpul dan pasang robot beri kepuasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kecil, dia sudah tertarik dengan dunia animasi robot Gundam yang dikenali menerusi permainan video Play Station (PS).

Bermula dari itu, dia kemudian sentiasa mengikuti perkembangan animasi berkenaan dan mengumpulkan figura-figura watak dalam francais fiksyen sains dari Jepun itu.

Menurut Syed Mohd. Nasry Syed Sabry, 27, minat tersebut terus berkembang sehingga kini dan tanpa diduga menjadi jalur kerjayanya sebagai penjual kit pemasangan permainan Gundam.

“Sejak zaman sekolah antara hobi saya adalah bermain PS sehingga suatu hari saya berjumpa cakera padat permainan video Gundam dan tertarik dengannya.

“Daripada situ terbit minat terhadap animasi tersebut dan mengikutinya hingga mengetahui bahawa terdapat figura dan kit model yang dijual serta mengumpulnya sebagai koleksi,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, minat terhadap Gundam membuatkan dia sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan terkini animasi tersebut dan dunia peminatnya.

Semasa zaman universiti juga, bagi memenuhi keinginan untuk membeli figura itu sendiri, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Perniagaan itu juga berkait dunia cenderamata Gundam iaitu menjual alatan pemasangan kit kemudian berkembang kepada kit model figura itu sendiri sehingga hari ini.

Gundam ialah francais fiksyen sains dari Jepun yang terkenal dengan robot gergasi yang dikenali sebagai ‘Mobile Suit’ khususnya model ikoniknya yang dipanggil Gundam.

Francais ini bermula dengan siri anime ‘Mobile Suit Gundam’ pada tahun 1979 yang dicipta oleh Yoshiyuki Tomino dan syarikat Sunrise (kini sebahagian daripada Bandai Namco Filmworks).

Gundam merujuk kepada robot gergasi humanoid (mecha) yang dikendalikan oleh manusia dan biasanya menjadi simbol konflik ketenteraan yang menggambarkan peperangan antara koloni angkasa dan bumi.

Terdapat beberapa jenis kandungan Gundam iaitu animasi dan filem, malah terdapat banyak siri dan filem – antaranya Mobile Suit Gundam Wing, Gundam SEED, Iron-Blooded Orphans, The Witch from Mercury dan lain-lain.

Kemudian terdapat juga model kit (gunpla) iaitu model plastik yang boleh dipasang oleh peminat dan sangat popular di seluruh dunia serta permainan video, manga dan novel ringkas, selain banyak cerita Gundam turut disampaikan melalui media lain.

Robot Gundam boleh didapati dalam pelbagai saiz.

Sebagai peminat dan pengumpul Gundam, graduan kejuruteraan perisian itu mengakui peminat terhadap siri tersebut semakin berkembang saban tahun dan kian ramai yang mula menceburi hobi mengumpul kandungan berkaitan animasi berkenaan.

“Sejak dahulu Gundam sudah ada peminat tersendiri, malah ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan cenderamata berkaitan terutama kit model dan figura.

“Meskipun ia animasi, peminat Gundam datang dari pelbagai lapisan umur, baik yang berusia belasan tahun hingga 40 serta 50-an dan ia terus berkembang dengan adanya media sosial serta siri baharu daripada animasi tersebut,” ujarnya yang miliki lebih 100 koleksi Gundam daripada model biasa hingga keluaran terhad selain merchandise seperti poster dan cadar.

Kata pemilik kedai hobi, SMN Hobby Shop di Seksyen 7, Shah Alam ini lagi, Gundam sendiri mempunyai ribuan koleksi kit model yang terdapat di pasaran dan sebahagiannya dikeluarkan oleh syarikat penerbitnya dan juga terdapat versi klon dari negara China.

Jenis kit model juga terdiri daripada pelbagai jenis gred dan tahap kesukaran dan harga boleh mencecah daripada puluhan hingga ribuan ringgit.

Turut mempunyai minat sama terhadap dunia Gundam, pempengaruh media sosial, Mohammad Azhar Jaa’far, 33, mengatakan perbezaan gred dan tahap kesukaran ini menjadikan peminat Gundam semakin bertambah dan setia dengan siri itu.

Dia yang mula meminati Gundam semasa negara dilanda pandemik Covid-19 berkongsi bahawa setiap watak dalam siri gundam mempunyai nilai estetik tersendiri dan ia turut menentukan nilai model kitnya.

“Bagi mereka yang kenal dengan siri Gundam sudah pasti setiap watak tidak asing dengan mereka dan dalam mencari model kit, mereka akan tahu jika keluaran tersebut bernilai tinggi atau sekadar penambah koleksi.

“Figura Gundam juga boleh menjadi satu pelaburan kerana untuk beberapa model, nilainya akan bertambah kerana pengeluarannya terhad dan Bandai juga tidak memproduksinya berulang kali,” kongsinya yang juga dikenali sebagai ‘Pemburu Gundam’ di TikTok dan turut membentuk komuniti peminat Gundam dalam kalangan pengikut-pengikutnya.

Perbezaan gred dan tahap kesukaran pemasangan menjadikan peminat Gundam semakin bertambah.

Ditanya berapa banyak koleksi dimiliki, Mohammad Azhar berkata, dia memiliki lebih 100 koleksi Gundam.

“Sebenarnya tak tahu macam mana hendak kira kerana ada yang masih dalam kotak dan tengah dipasang.

“Kebanyakan telah dipasang ialah karakter-karakter yang saya minat, manakala yang belum pula ada antaranya edisi terhad yang mungkin boleh dijual semula,” jelasnya.

Selain itu katanya, skil pemasangan model kit juga boleh dijadikan sebagai satu perkhidmatan dan mampu menjana pendapatan kerana terdapat golongan peminat yang ingin memiliki model sudah siap pasang.

Mungkin ada orang menganggap hobi itu satu pembaziran, namun baginya yang turut memiliki koleksi merchandise Gundam seperti topeng, baju-T dan kole berkata, aktiviti pengumpulan dan pemasangan itu memberi kepuasan diri.

Jelas Mohammad Azhar, semuanya perlu bermula dengan minat dan kemudian ilmu terhadap dunia Gundam.

Seterusnya, mulakan dengan skala kecil iaitu membina model tahap pemula bagi melihat sama ada aktiviti tersebut disukai atau tidak.

“Kemudian, buat perancangan bajet mengikut kemampuan dan tidak berbelanja secara berlebihan kerana tidak dinafikan jika sudah bermula dan lihat hasil pemasangan keinginan untuk membeli lagi akan membuak-buak.

“Hobi mengumpul kit model ini juga ada manfaat tersendiri. Menerusi aktiviti memasang model kita boleh belajar fokus dan sabar kerana semakin tinggi gred, semakin rumit cara pemasangannya dan pada masa sama boleh menjadi wadah buat orang ramai terutama kanak-kanak lari dari dunia gajet elektronik serta melakukan sesuatu yang boleh memanfaatkan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN